BEIJING, 2 Jun (Bernama-CMG) -- Asia perlu dibangunkan sebagai sebuah rantau yang lebih akomodatif, ketika dunia berdepan cabaran ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
Bekas Perdana Menteri New Zealand, Jennifer Shipley berkata Asia tidak boleh hilang keyakinan terhadap masa depannya.
Dalam suasana antarabangsa yang penuh dengan ketegangan dan kekeliruan ketika ini, adalah penting untuk rantau Asia kekal tenang dan bertindak secara bijaksana.
"Melihat ke hadapan, Asia akan kekal sebagai rantau paling dinamik dalam ekonomi global," katanya dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG), baru-baru ini.
Beliau sebelum ini menghadiri Sidang Tahunan Forum Boao untuk Asia (BFA) 2025 di Hainan, China pada Mac lalu.
Mengulas hala tuju pembangunan China, Shipley berkata bahawa Presiden Xi Jinping telah memperincikan komitmen negaranya terhadap pembangunan secara damai, mendorong perkongsian dan meningkatkan kerelevanan dalam pertumbuhan ekonomi, dan beriltizam merealisasikan wawasan kemakmuran.
"Pada pandangan saya, ini adalah aspirasi rakyat seluruh dunia. Maka, China pasti akan terus memaparkan pengaruh yang sangat penting," katanya.
Menyentuh hubungan dua hala, beliau berkata New Zealand sentiasa berpegang kepada prinsip perdagangan bebas dan hubungan dengan China telah berlangsung dalam kerangka yang tersusun dan sistematik.
“Apabila timbul isu, kami sentiasa mencari penyelesaian menerusi perbincangan bersama. Misalnya, dalam hal tarif, China memerlukan masa untuk melakukan pelarasan, dan akhirnya kami berjaya mencapai perjanjian perdagangan bebas yang menyeluruh,” katanya.
Shipley turut memuji peluasan kerjasama dua hala yang kini merangkumi sektor automotif, selain pelancongan dan pendidikan pada fasa awal hubungan.
“New Zealand kini mula mengimport kenderaan dari China.
"Kami juga amat menghargai peluang dapat mengeksport produk makanan kami ke pasaran China dan berbesar hati apabila mengetahui ia mendapat sambutan dalam kalangan pengguna China,” katanya.
Mengulas perbezaan ideologi antara kedua-dua negara, beliau menegaskan bahawa ia tidak harus menjadi halangan untuk membina masa depan bersama.
“New Zealand dan China mempunyai perbezaan besar dari segi ideologi politik. Namun, kami percaya bahawa kedua-dua pihak masih boleh duduk semeja, meraikan perbezaan dan terus maju bersama,” katanya.
-- BERNAMA-CMG