SUKAN

Jonah Perbaharui Catatan Peribadi Terbaik Di Korea Selatan

29/05/2025 11:34 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Atlet lontar peluru negara Jonah Chang Rigan memperbaharui catatan peribadi terbaik pada Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan sebentar tadi. 

Atlet berusia 22 tahun itu melakukan lontaran sejauh 18.05 meter (m) untuk memperbaiki rekod peribadi 17.11m yang dicipta di Terbuka Queensland di Brisbane pada Mac lepas. 

Bagaimanapun, pada kejohanan hari ini Jonah sekadar menamatkan saingan di tempat ke-10 daripada 12 peserta. 

Pingat emas menjadi milik pencabar Iran, Mohammadreza Tayebiseifkoti yang melakukan lontaran 20.32m manakala atlet China Xing Jialiang memperoleh perak (19.97m) dan gangsa diraih Mohammed Daoud Tolu dari Arab Saudi (19.92m).

Sementara itu, kuartet 4x400m lelaki negara yang dibarisi Anas Ariffin, Luqmanul Hakim Khairul Akmal, Umar Osman dan Muhammad Sayyid Amin sekadar menduduki tempat ketujuh dengan catatan masa 3 minit 14.55 saat (s).

Pingat emas disambar kuartet Qatar dengan catatan masa 3:03.52s manakala perak menjadi milik skuad  India (3:03.67s) dan gangsa diraih oleh China (3:03.73s).

Dalam pada itu, atlet lempar cakera negara Queenie Ting menamatkan saingan di kedudukan kelapan daripada 10 peserta selepas melakukan enam percubaan dengan catatan 47.96m menjadi rekod terbaiknya di kejohanan tersebut.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429036