KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Proton Holdings Bhd (Proton) telah mengumumkan pelantikan Ainol Azmil sebagai pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuatkuasa 10 Jun 2025.
Pembuat kereta itu berkata Ainol akan mengambil alih peranan Roslan Abdullah, yang akan meninggalkan jawatannya selepas berkhidmat selama lima tahun sebagai Timbalan CEO dan melaporkan terus kepada CEO kumpulan, Dr Li Chunrong.
"Pada masa yang sama, beliau akan terus berkhidmat melalui portfolio sedia ada dalam strategi korporat dan perolehan teknikal kumpulan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Syarikat itu berkata Roslan telah membantu Proton mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama terkemuka di Malaysia, beliau turut membantu Proton memasuki pasaran kenderaan elektrik dengan produk pertamanya, Proton e.Mas 7.
“Proton mengalu-alukan Ainol sebagai pemangku Timbalan CEO. Kami yakin dengan kemampuannya untuk mengambil alih jawatan sementara ini.
-- BERNAMA