JOHOR BAHRU, 29 Mei (Bernama) -- Polis menahan 15 lelaki termasuk seorang warga tempatan selepas menggempur sebuah banglo di Batu Pahat yang disyaki dijadikan sarang sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian, Ahad lepas.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata serbuan dijalankan kira-kira 5.15 pagi dan polis turut merampas 14 komputer riba serta 19 telefon bimbit dianggarkan bernilai RM30,000 yang disyaki digunakan dalam kegiatan penipuan itu.
“Kesemua 14 warga asing dan seorang lelaki tempatan itu berusia antara 21 hingga 38 tahun. Mereka disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata berdasarkan siasatan, sindiket berkenaan beroperasi pada Mac lepas dengan menjadikan premis itu sebagai pusat panggilan.
Ahli sindiket didapati menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk berkomunikasi dan menawarkan kerja dalam talian yang tidak wujud dengan menyasarkan mangsa dari Rusia.
Kumar berkata kertas siasatan kes itu telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan pihaknya telah diarahkan mendapatkan beberapa keterangan lain bagi menguatkan keterangan kes.
"Sehubungan itu, polis memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menjadikan Johor sebagai tapak untuk menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang," katanya.
-- BERNAMA