PASARAN

Ringgit Ditutup Rendah Susulan Sekatan Mahkamah AS Ke Atas Tarif Import

29/05/2025 07:22 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini apabila mata wang Amerika Syarikat (AS) itu meningkat selepas mahkamah perdagangan AS menyekat kebanyakan tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump ke atas import ke negara itu.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut  kepada 4.2390/2475 berbanding dolar AS daripada 4.2215/2275 pada Rabu.

Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS pada Rabu memutuskan bahawa Trump tidak diberi kuasa untuk menggunakan undang-undang kuasa ekonomi kecemasan bagi mengenakan tarif global yang diumumkan pada April lepas.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran menyambut baik keputusan mahkamah AS terhadap Trump itu dan melihatnya sebagai prospek yang baik untuk ekonomi AS.

"Pasaran merasakan langkah ini boleh memberi prospek positif terhadap pertumbuhan AS kerana ramai yang menjangkakan tarif akan menjejaskan penggunaan.

“Sentimen itu juga membantu meningkatkan ekuiti AS dengan pendapatan melambung tinggi Nvidia meningkatkan keyakinan pelabur, menyebabkan lebih ramai orang mengambil risiko, yang membawa kepada permintaan terhadap dolar AS," katanya kepada Bernama.

Sementara itu Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Rizab Persekutuan AS, yang menunjukkan kemungkinan belum ada lagi langkah untuk menurunkan kadar faedah, turut menjejaskan ringgit.

Menurut Bloomberg, minit mesyuarat FOMC pada 6-7 Mei mencadangkan agar penggubal dasar bersetuju dengan pendekatan berhati-hati dalam dasar monetari di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan dan fiskal AS.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9188/9249 daripada 2.9271/9315 pada Rabu, naik berbanding euro kepada 4.7803/7899 daripada 4.7838/7906 namun susut berbanding Pound Britain kepada 5.7091/7205 daripada 5.7028/7109 sebelumnya.

Sementara itu Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain. 

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2853/2921 daripada 3.2776/2825 pada Rabu, turun berbanding rupiah Indonesia kepada 259.9/260.5 daripada 259.0/259.5, meningkat berbanding baht Thailand kepada 2.9321/9647 daripada 2.9355/9614 dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.60/7.62 daripada 7.60/7.62.

-- BERNAMA
 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428931