Oleh Vikneswaran Raman
KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Walaupun mempunyai jadual yang padat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa untuk menerima kunjungan hormat pasukan gergasi bola sepak Inggeris Manchester United dan wakil pasukan ASEAN All-Stars, di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak berkaitan di sini.
Pasukan yang dikenali dunia dengan gelaran The Red Devils itu diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Omar Berrada serta jurulatih Ruben Amorim, manakala ketua jurulatih Kim Sang Sik dan pemain naturalisasi Harimau Malaya, Sergio Aguero mewakili pasukan ASEAN All-Stars.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Mejar Jeneral Khiev Sameth, Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents Julian Kam dan Ketua Pegawai Eksekutif Shekhinah PR A. Christopher Raj.
Manchester United dan ASEAN All-Stars akan berentap dalam Piala Cabaran Maybank, perlawanan persahabatan pasca musim ini, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8.45 malam esok.
Dalam perjumpaan selama 20 minit itu, Anwar membincangkan tentang perjalanan Red Devil dan persiapan untuk perlawanan itu, serta hal-hal lain yang berkaitan bola sepak.
Anwar yang merupakan peminat tegar pasukan Red Devils, kemudiannya dihadiahkan dengan jaket Manchester United oleh wakil kelab berkenaan, yang terus disarungkannya, manakala Khiev menghadiahkan jersi ASEAN All-Star berbingkai yang ditandatangani oleh pemain-pemain pasukan itu.
Skuad penuh Manchester United tiba di Malaysia semalam, membabitkan penjaga gol Andre Onana; pemain pertahanan Diogo Dalot, Matthijs de Ligt, Jonny Evans, Harry Maguire, Luke Shaw; pemain tengah Casemiro, Toby Collyer, Bruno Fernandes, Mason Mount; dan penyerang Alejandro Garnacho, Amad, Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee.
Asean All-Stars pula terdiri daripada pemain dari negara ahli AFF termasuk Australia, Kim - jurulatih dari Korea Selatan Kim yang pernah membawa Vietnam merangkul kejuaraan Kejohanan Asean awal tahun ini, dan diketuai oleh Aguero.
Semalam ketua pegawai eksekutif (CEO) Kumpulan ProEvents Julian Kam memberitahu Bernama bahawa lebih 60,000 tiket telah dijual untuk perlawanan itu, dan difahamkan beberapa pemimpin ASEAN juga dijangka menyaksikan perlawanan tersebut.
The Red Devils adalah antara kelab bola sepak yang paling terkenal di dunia, setelah memenangi liga utama Inggeris sebanyak 20 kali, termasuk 13 gelaran sejak liga itu disusun semula sebagai Liga Perdana Inggeris (EPL). Pasukan itu juga pernah memenangi Piala FA sebanyak 13 kali.
Bagaimanapun Manchester United pernah mengharungi satu musim yang suram, apabila mereka menamatkan musim 2024-25 di tempat ke-15, sambil terlepas tempat di Liga Juara-Juara UEFA apabila muncul naib juara kepada Tottenham Hotspur dalam Piala Europa (peringkat kedua) untuk menambahkan lagi kekecewaan peminat mereka.
Selepas perlawanan esok Red Devils kemudiannya akan menentang Hong Kong di Stadium Hong Kong.
Juara Eropah tiga kali itu akan menyambung semula perlawanan pramusim mereka menentang Leeds United di Sweden pada 19 Julai dan ke Amerika untuk beberapa siri persiapan musim panas menentang pasukan Inggeris West Ham United (26 Julai), Bournemouth (30 Julai) dan Everton (3 Ogos).
Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2, dan buat julung kalinya Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, bagi mengukuhkan lagi perkongsian strategik antara rantau dan wilayah.
-- BERNAMA