AM

JKMS Siap Sedia Hadapi Monsun Timur Laut, Kenal Pasti 661 PPS

27/05/2025 06:03 PM

KUCHING, 27 Mei (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut dengan mengenal pasti sejumlah 661 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata stok bantuan bencana juga telah disediakan di beberapa lokasi strategik antaranya di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Samarahan, mini depoh di Miri dan Lawas, 16 stor bencana di Pejabat Kebajikan Bahagian dan Daerah, selain 31 Pangkalan Hadapan Bencana di Sarawak.

Beliau berkata kerajaan Sarawak juga telah meluluskan kadar baharu bantuan bencana kepada mangsa banjir, tanah runtuh, kebakaran dan ribut mulai tahun ini.

“Bantuan termasuk bekalan makanan peringkat awal secara sekali beri bernilai RM75 untuk satu pek bagi isi rumah terdiri daripada satu hingga lima individu. 

“Selain itu, bantuan segera secara sekali beri juga disediakan merangkumi wang saku RM200 seorang, pakaian harian bernilai RM300 seorang, makanan kering bernilai RM100 seorang, serta kelengkapan tidur bernilai RM200 seorang,” katanya pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini. 

Fatimah berkata bantuan persekolahan turut diberikan secara sekali beri meliputi pakaian seragam dan kasut bernilai RM300 seorang, serta beg dan alat tulis bernilai RM200 seorang. 

“Selain itu, bantuan peralatan dapur secara sekali beri bernilai RM1,000 bagi setiap rumah, bantuan perlindungan untuk pembinaan kediaman sementara atau sewaan rumah dengan nilai antara RM1,000 hingga RM10,000 setiap rumah. 

“Bantuan makanan harian di PPS diberikan pada kadar RM50 seorang setiap hari dan bagi mangsa yang terputus hubungan, bantuan makanan kering disediakan bernilai RM100 untuk satu pek seorang bagi tempoh seminggu,” katanya.

Beliau berkata dari Januari hingga 30 April tahun ini, JKMS telah menyalurkan bantuan berjumlah RM21.1 juta kepada 168,574 mangsa bencana di seluruh Sarawak.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2427963