JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kelantan Giat Kenal Pasti Suspek Insiden Pergaduhan Tular

28/05/2025 11:41 PM

KOTA BHARU, 28 Mei (Bernama) -- Polis Kelantan kini giat mengenal pasti semua suspek dalam insiden pergaduhan di Jalan Kebun Sultan di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata kes itu dikesan selepas video pergaduhan sekumpulan lelaki dimuat naik di laman sosial Facebook pada kira-kira 1.40 tengah hari tadi.

"Satu laporan polis telah dibuat berkait kejadian tersebut dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 23 Mei lepas pada 4.27 pagi di kawasan Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu.

"Video berdurasi satu minit 25 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki turun dari dua buah motokar dan telah memukul beberapa orang yang berada di tempat kejadian," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata masih menyiasat punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihat agar tidak membuat sebarang spekulasi dan mereka yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428640