EKONOMI

Malaysia Anggap Afrika Sebagai Rantau Masa Depan, Rakan Strategik - Timbalan Menteri Luar

28/05/2025 11:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Malaysia melihat Afrika sebagai benua masa depan, rakan strategik serta pusat pertumbuhan global dan inspirasi yang semakin meningkat, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Berucap pada majlis resepsi sambutan Hari Afrika ke-62, beliau berkata hubungan Malaysia dengan negara Afrika telah berkembang kukuh sejak beberapa dekad lalu melalui perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pertukaran budaya.

Beliau menambah bahawa Malaysia berdiri teguh bersama Afrika dalam usaha membina pendekatan yang konstruktif, inklusif dan praktikal untuk menangani legasi sejarah serta mempromosi sistem antarabangsa yang lebih adil dan saksama.

“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia mengiktiraf potensi besar untuk memperkukuh kerjasama dengan Afrika - bukan sahaja secara dua hala, tetapi juga menerusi platform antara serantau.

“Sebagai organisasi serantau yang berkongsi prinsip keamanan, pembangunan mampan dan keterangkuman, potensi kerjasama masa depan antara ASEAN dan Kesatuan Afrika (AU) menawarkan ruang subur bagi pertumbuhan bersama dan pembangunan kapasiti,” katanya.

Dalam sektor pendidikan, Mohamad berkata institusi pengajian tinggi Malaysia telah menerima lebih 16,800 pelajar dari Afrika setakat Mac tahun ini. Di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), negara ini juga telah menerima 10,343 peserta dari Afrika.

Beliau berkata jumlah pelancong Afrika ke Malaysia yang mencecah 167,000 orang pada 2024 turut mencerminkan keterhubungan rakyat yang semakin rancak dan mendalam.

Jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Afrika pula mencatat pertumbuhan stabil, mencecah US$14.41 bilion pada 2024. Bagi suku pertama 2025 sahaja, jumlah perdagangan telah mencapai US$2.19 bilion -menandakan pertumbuhan berterusan dan potensi kukuh untuk mengatasi jumlah keseluruhan tahun lepas, katanya.

Sementara itu, Dekan Ketua Misi Afrika yang juga Pesuruhjaya Tinggi Namibia ke Malaysia Herman Pule Diamonds berkata Afrika merupakan sempadan pertumbuhan baharu, dengan menawarkan penyelesaian pembiayaan inovatif sebagai respons strategik terhadap ketidaktentuan pasaran global, termasuk akibat perang tarif semasa.

“Momentum Afrika dalam usaha perintis bagi menjamin keselamatan makanan jelas dapat dilihat. Seperti yang digambarkan, kerjasama dengan Afrika akan memastikan ASEAN tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran global,” katanya.

Hari Afrika disambut oleh 19 misi diplomatik di Malaysia termasuk Algeria, Mesir, Eswatini, Ghana, Guinea, Kenya, Libya, Mauritius, Maghribi, Namibia, Nigeria, Senegal, Somalia, Afrika Selatan, Sudan, Tanzania, Uganda, Zambia dan Zimbabwe.

Hari Afrika merupakan peringatan tahunan penubuhan Pertubuhan Kesatuan Afrika pada 25 Mei 1963, yang kemudiannya ditransformasikan menjadi Kesatuan Afrika pada 9 Julai 2002. Tema sambutan tahun ini ialah "Tahun Keadilan untuk Warga Afrika dan Keturunan Afrika melalui Pemulangan Semula."

Majlis ini didedikasikan untuk meraikan pencapaian dan peluang benua Afrika sambil menilai cabaran serta penyelesaian terhadap isu penting termasuk usaha mencapai keamanan, keselamatan dan pembangunan rantau itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428647