JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Sarawak Rampas Rokok, Minuman Keras Tanpa Cukai Bernilai Lebih RM6 Juta

27/05/2025 02:37 PM

KUCHING, 27 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya merampas rokok dan minuman keras tanpa cukai bernilai RM6.33 juta dalam Op Taring Alpha di tiga lokasi berbeza Khamis lepas.

Timbalan Komander PGA Briged Sarawak ACP Rosdi Inai berkata dalam serbuan pertama pada 12.30 tengah hari di sini, tujuh lelaki berusia 27 hingga 46 tahun telah ditahan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 4,881 karton rokok pelbagai jenis dan jenama serta 7,588.68 liter minuman keras. Turut dirampas dua buah van dengan nilai rampasan RM4.03 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rosdi berkata serbuan kedua dilakukan di Serian kira-kira 1.30 tengah hari dan PGA menahan tiga lelaki tempatan berusia 22 hingga 39 tahun serta merampas 2,466 karton rokok serta 4,015.68 liter minuman keras dengan anggaran keseluruhan bernilai RM1.05 juta.

Beliau berkata dalam serbuan berasingan dekat Sri Aman pada 2.30 petang, PGA menahan enam lelaki tempatan berumur 18 hingga 39 tahun serta merampas 4,569 karton rokok dan 7,357.28 liter minuman keras yang keseluruhannya bernilai RM2.3 juta.

Beliau berkata kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching dan Ibu Pejabat Daerah Serian untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2427788