Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Sentimen pelabur bertambah baik susulan keputusan Mahkamah Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat (AS) menghalang sebahagian besar tarif Presiden AS, Donald Trump terhadap import ke negara itu.
Bagaimanapun, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata prospek ekonomi global kekal tidak menentu dalam jangka masa terdekat walaupun keputusan tersebut mencetuskan keyakinan pasaran jangka pendek.
"Selepas pengumuman keputusan tersebut, niaga hadapan AS meningkat di tengah-tengah pengukuhan dolar AS.
"Namun, masih terlalu awal untuk mengunjurkan kesan ekonomi yang lebih meluas di peringkat global, termasuk ke atas Malaysia," katanya kepada Bernama.
Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS pada Rabu memutuskan Trump tidak mempunyai kuasa untuk menggunakan undang-undang kuasa ekonomi darurat bagi mengenakan tarif global secara menyeluruh seperti yang diumumkan pada April lepas.
Keputusan itu berkemungkinan membawa kepada pemansuhan tarif baharu terhadap banyak negara dan dapat meningkatkan prospek bagi ekonomi global utama serta mengurangkan ketidaktentuan yang disebabkan oleh pertikaian perdagangan yang berterusan.
Bagaimanapun, pentadbiran Trump mengumumkan rancangan untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu dan tempoh masa untuk keputusan itu berkuat kuasa masih tidak menentu memandangkan mahkamah memberikan tempoh sehingga 10 hari kepada kerajaan untuk memansuhkan tarif berkenaan.
Mohd Sedek berkata Malaysia tidak seharusnya menghentikan sebarang rundingan perdagangan walaupun berdepan ketidaktentuan pada masa hadapan.
Hal ini terutamanya Malaysia sebelum ini mengadakan perbincangan dengan AS untuk mengurangkan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus yang kini sedang digantung.
“Kita tidak dapat mengunjurkan apa yang akan berlaku pada masa hadapan, jadi lebih baik untuk meneruskan usaha pengalihan perdagangan dan meneroka pasaran baharu.
"Jika tarif AS dibatalkan, itu akan menjadi satu bonus untuk kita,” katanya.
Beliau menasihatkan supaya semua inisiatif kerajaan semasa seperti yang melibatkan ASEAN, negara-negara Majlis Kerjasama Teluk dan China diteruskan seperti yang dirancang tanpa mengira sama ada tarif AS akan dibatalkan atau tidak pada masa hadapan.
-- BERNAMA