AM

UPSI, MCB Meterai MoU Berkaitan Koko

27/05/2025 10:41 AM

IPOH, 27 Mei (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Lembaga Koko Malaysia (MCB)  memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah, malam tadi sempena Malaysian International Cocoa Fair (MICF) 2025.

UPSI dalam kenyataan hari ini memaklumkan majlis itu, disaksikan Pengerusi MCB Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah MCB Datuk Dr Ramle Kasin.

Pengarah Akademik dan Antarabangsa Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus yang mewakili UPSI berkata MoU yang merupakan inisiatif Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) UPSI itu, bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan produk dan latihan dalam industri koko negara.

“Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan, serta menyokong pembangunan industri koko yang mampan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

Ramle berkata kerjasama itu, satu langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem industri koko negara yang membabitkan institusi pendidikan dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi berkaitan koko.

Beliau berkata kerjasama antara UPSI dan MCB itu, diharapkan dapat memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai pengeluar utama koko dunia, serta meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan generasi muda melalui pendidikan dan penyelidikan yang berterusan.

MICF 2025 yang berlangsung dari 24 hingga 27 Mei itu, turut menyaksikan pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti pameran, pertandingan pembuatan coklat dan sesi perkongsian industri, selain dihadiri lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara, menjadikannya platform penting dalam mempromosikan industri koko Malaysia ke peringkat global.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2427707