Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, menjejaki harga minyak kacang soya yang kukuh di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), kata peniaga minyak sawit David Ng.
Beliau berkata kekuatan eksport baru-baru ini turut dilihat sebagai faktor lain yang menyokong sentimen pasaran hari ini.
“Kami melihat paras sokongan pada RM3,800 satu tan dan rintangan pada RM4,000 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Jun 2025 dan Julai 2025 masing-masing menokok RM7 kepada RM3,911 satu tan dan RM3,930 satu tan, Ogos 2025 meningkat RM14 kepada RM3,917 satu tan, September 2025 naik RM16 kepada RM3,906 satu tan, Oktober 2025 menokok RM13 hingga RM3,899 satu tan dan November 2025 menambah RM8 kepada RM3,899 satu tan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 62,878 lot daripada 64,761 lot semalam manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 241,688 kontrak daripada 245,562 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan menokok RM10 kepada RM3,960 satu tan.
-- BERNAMA