EKONOMI

Keuntungan AEON Melonjak 18 Peratus Kepada RM68.1 Juta

20/05/2025 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Aeon Co (M) Bhd untuk suku pertama 2025 melonjak 18 peratus kepada RM68.10 juta berbanding RM57.39 juta yang dicatatkan pada tahun sebelum ini, disokong oleh perbelanjaan bermusim yang meningkat susulan perayaan-perayaan yang berlaku dalam suku tersebut.

Pendapatan menokok 6.6 peratus kepada RM1.24 bilion daripada RM1.17 bilion, dengan segmen perkhidmatan pengurusan hartanah dan perniagaan peruncitan merekodkan pertumbuhan perolehan.

Aeon berkata segmen perniagaan runcitnya mencapai hasil sebanyak 6.1 peratus lebih tinggi pada RM1.04 bilion, disumbangkan oleh perbelanjaan pengguna yang lebih kukuh dalam tempoh perayaan dua kali.

Segmen perkhidmatan pengurusan peruncitan melaporkan kenaikan pendapatan sebanyak 9.4 peratus kepada RM204.4 juta, disokong oleh kadar penghunian yang lebih baik, pembaharuan penyewaan yang berimpak serta komisen jualan yang cemerlang susulan dorongan daripada prestasi jualan penyewa semasa tempoh perayaan. 

Pengarah Urusan Naoya Okada berkata industri runcit dijangka secara proaktif akan menyesuaikan diri dengan peningkatan kos perniagaan sepanjang tahun ini, sambil terus memenuhi jangkaan pengguna yang berkembang dan menyokong perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan.

"Aeon tetap memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi, memperluaskan penawaran jenama persendiriannya, mempercepatkan transformasi digital, mengoptimumkan gabungan penyewa, mengukuhkan program kesetiaannya, serta meningkatkan nilai keseluruhan ruang runcit bagi menarik trafik pengunjung," katanya.\

Aeon ketika mengulas mengenai prospeknya berkata ia akan terus memperdalam penglibatan pelanggan, memanfaatkan peluang yang muncul selain memantapkan asas-asas perniagaan terasnya untuk memberikan nilai yang mampan kepada pelanggan, rakan kongsi perniagaan dan pemegang sahamnya, sementara tetap teguh dalam peranannya bagi melayani komuniti Malaysia.

 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425024