MERSING, 20 Mei (Bernama) -- Seorang imam ditemukan lemas selepas terjatuh dari bot ketika memancing di sungai berhampiran Jeti Kampung Semaloi, Endau di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata mangsa, Al Hafiz Yunus, 45, yang bertugas di sebuah masjid di Pontian ditemukan pada 12 tengah hari oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jarak 100 meter dari lokasi dia dilaporkan jatuh.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 2.25 pagi sebelum 10 anggota dari BBP Endau digegaskan ke lokasi kejadian.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) katanya turut dibantu anggota polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pejabat agama dan orang awam.
“Setibanya di lokasi kejadian, Pasukan Keluaran Operasi telah membuat teknik mencari di permukaan air di sekitar kawasan Al Hafiz terjatuh.
“Bagaimanapun, operasi pencarian ditangguhkan pada 3.30 pagi tadi atas faktor keselamatan dan keadaan yang gelap di permukaan sungai,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Alias berkata SAR diteruskan pada 8 pagi dengan kekuatan dua bot dan bantuan 10 anggota unit PPDA daripada BBP Mersing dan PPDA Skudai.
Beliau berkata anggota PPDA turut membuat pencarian menggunakan teknik 'windshield wiper searching' bagi meningkatkan keupayaan mengesan mangsa.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian terbabit dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
-- BERNAMA