KOTA BHARU, 20 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan cubaan menyeludup 162 ekor kambing dari Thailand menerusi Op Taring Wawasan di Kampung Batu Gajah, Tanah Merah, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata pada kejadian 2.41 pagi itu, anggota Batalion 9 PGA turut menahan pemandu lori berusia 32 tahun yang menghantar haiwan berkenaan ke pasaran tempatan.
"Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM321,000 termasuk lori. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nik Ros Azhan berkata suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA