KUCHING, 22 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mencatat kejayaan besar dalam tiga operasi berasingan menerusi Op Taring Alpha/Charlie dan Op Bersepadu Khazanah, dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM6.82 juta.
Timbalan Komander Briged Sarawak ACP Rosdi Inai berkata dalam operasi pertama yang dijalankan sekitar 10.30 pagi Rabu di Sibu, PGA menyerbu sebuah kediaman yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan rokok seludup serta senjata berbahaya dan tiruan.
"Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun serta rampasan melibatkan 7,600 karton rokok putih, 6,788 karton rokok kretek pelbagai jenama, 435 kotak mercun, dua unit senjata api tiruan, sembilan senjata berbahaya dan sebuah kenderaan pacuan empat roda. Nilai rampasan dianggarkan RM6.3 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi kedua yang dijalankan pada Isnin kira-kira 10.30 pagi, PGA menyerbu sebuah premis di Bau yang dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan rotan tanpa permit sah.
"Sebanyak 15,000 kilogram (kg) rotan ditemukan bersama dua lori. Seramai 11 lelaki berusia antara 19 hingga 58 tahun, termasuk tiga warga asing ditahan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM490,000," katanya.
Dalam serbuan ketiga yang dijalankan pada hari yang sama kira-kira 9.30 pagi di sebuah kediaman di Sibu, PGA menemukan 35 ekor hidupan liar pelbagai spesies, 84 kg batu karang, serta lapan unit peralatan kurungan.
"Seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun ditahan dan nilai rampasan dianggarkan RM34,730," katanya.
Semua kes diserahkan kepada agensi berkaitan seperti Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA