AM

Raja Permaisuri Agong Berkenan Berangkat Lawat Kelantan

20/05/2025 05:55 PM

KOTA BHARU, 20 Mei (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah selamat berangkat tiba di Kelantan hari ini bagi lawatan dua hari ke negeri ini.

Menurut hantaran melalui Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini disambut Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah bersama adinda Sultan Kelantan Tengku Amalin A’ishah Putri Sultan Ismail Petra.

Turut berangkat mengiringi Raja Permaisuri Agong, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

“Lawatan Raja Permaisuri Agong ke Kelantan adalah julung kali sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17,” menurut hantaran itu. 

Raja Zarith Sofiah bakal berangkat ke Majlis Santapan Malam Kurniaan Sultanah Kelantan sempena Persidangan Pandu Puteri dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-60 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPM) 2025. 

Esok, Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat menyempurnakan persidangan dan mesyuarat agung itu di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kotadarulnaim, di sini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2424925