EKONOMI

Sembilan Syarikat Malaysia Sertai SEMICON SEA 2025 Di Singapura

19/05/2025 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Sembilan syarikat Malaysia akan menyertai SEMICON Southeast Asia (SEA) 2025, platform utama rantau ini bagi industri elektronik dan semikonduktor global.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam satu kenyataan hari ini berkata, semua syarikat itu menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang sesuai untuk rantaian nilai mikroelektronik dan semikonduktor.

Ia merupakan penyertaan kali ke-10 berturut-turut MATRADE dalam acara tersebut, yang akan diadakan selama tiga di Singapura, bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata penyertaan MATRADE dalam SEA 2025 membuktikan langkah proaktif yang diambil oleh Malaysia untuk mengukuhkan ekosistem domestiknya.

Katanya, ia juga bertujuan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan semikonduktor dan elektronik, ketika landskap elektrikal dan elektronik (E&E) global berkembang dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik.

“Selain itu, ia juga menekankan peranan utama MATRADE dalam memacu akses kepada pasaran melangkaui rakan kongsi tradisional dan membuka peluang perniagaan baharu,” katanya.

Pada 2024, perdagangan Malaysia dalam sektor E&E mencecah RM1.06 trilion, dengan eksport menyumbang sebanyak RM601.21 bilion. 

Eksport peranti semikonduktor, litar bersepadu, transistor dan injap mewakili 64.5 peratus daripada keseluruhan eksport E&E, berjumlah RM387.98 bilion.

Destinasi eksport utama bagi produk E&E termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Hong Kong, China dan Taiwan.

Menurut MATRADE, secara purata, eksport produk E&E ke rantau Asia Pasifik telah meningkat lebih 11 peratus sejak lima tahun lepas.

“Dengan asas yang kukuh dalam pembuatan bernilai tinggi dan sokongan teguh kerajaan, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi rakan kongsi pilihan dalam industri semikonduktor dan elektronik peringkat global serta serantau,” katanya.

-- BERNAMA=

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2424449