KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Hasrat Malaysia untuk meraih kejuaraan berganda tidak kesampaian apabila tewas kepada musuh tradisi, Thailand, dalam acara double pada kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di sini malam ini.
Malaysia yang diwakili gandingan Muhammad Noraizat Nordin dan Muhammad Redwan Hakim Muhammad turun dengan aksi cemerlang untuk mendominasi set pertama dengan 15-7.
Bagaimanapun, Thailand yang membariskan Sirisak Analoon dan Tanaphon Sapyen yang menggantikan Boonkom Tipwong, bangkit menguasai set kedua dengan 15-10 sebelum melengkapkan kemenangan dengan 15-12.
Kekalahan malam ini menyaksikan Malaysia masih belum berjaya menjinakkan gergasi sepak takraw dunia itu, selepas tewas dalam saingan peringkat kumpulan pada Sabtu lepas.
Terdahulu, Malaysia muncul juara acara kuadran selepas mengecewakan Jepun 2-0.
-- BERNAMA