KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Malaysia mencipta sejarah muncul juara acara kuadran selepas menewaskan Jepun pada kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di sini malam ini.
Skuad negara dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Shahalril Aiman Halim mempamerkan aksi hebat ditambah dengan sokongan padu 1,000 penyokong yang hadir memenuhi venue pertandingan untuk menguasai set pertama dengan 15-8.
Bermula set kedua, kuadran Jepun diwakili Wataru Narawa, Toshitaka Naito, Yuki Sato, Ryota Haruhara seakan tidak goyah dengan sorakan penyokong tuan rumah, mula memperkemas corak permainan dan mengejar mata demi mata.
Namun ia tidak cukup untuk menggugat penguasaan kuadran negara bergelar juara selepas menamatkan perlawanan dengan kemenangan 15-11.
Sementara itu, jurulatih negara Mohammad Zulkarnain Abdul Rahman berkata kejayaan diraih anak buahnya itu menjadi pengubat kekecewaan pada penampilan di Piala Dunia di Bihar, India, Mac lepas.
-- BERNAMA