KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Mohd Shazli Shaik Mohd hari ini mengesahkan kesemua pasukan Liga Super sudah membuat permohonan Lesen Kebangsaan.
Beliau berkata turut membuat permohonan adalah juara Liga A1 Melaka FC dan naib juara liga semi-pro itu Imigresen +FC.
Menurutnya segala kelulusan tetap tertakluk kepada keputusan First Instance Body (FIB).
“Semua pasukan Liga Super dan dua pasukan Liga A1 Semi-Pro iaitu juara serta naib juara telah membuat permohonan bagi permohonan Lesen Kebangsaan.
“Segala keputusan hanya dan pengesahan hanya akan diketahui selepas FIB bersidang membuat penilaian serta semakan pada 13 Mei ini," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai jumlah sebenar serta pasukan mana yang bakal bertanding dalam saingan Liga Super musim depan, tatkala beberapa pasukan dilaporkan bakal menarik diri susulan dihimpit isu kewangan.
Malah, media sebelum ini melaporkan Pengerusi Perak FC Datuk Seri Azim Zabidi mengesahkan bahawa skuad The Bos Gaurus terpaksa menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan kerana berdepan kemelut kewangan.
Sebagai rekod, FIB memberikan lanjutan masa kepada kelab untuk melengkapkan semua dokumen bagi Pelesenan Kelab Kitaran 2024/2025 bagi Lesen Kebangsaan dalam sistem pelesenan AFC CLAS sehingga semalam, berbanding tarikh akhir asal iaitu pada 30 April disebabkan permohonan bertulis daripada beberapa kelab.
-- BERNAMA