Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Negara-negara Nordic menyuarakan sokongan padu terhadap agenda peralihan hijau Malaysia, bersedia untuk memanfaatkan pengalaman berdekad-dekad mereka dalam kelestarian, ekonomi kitaran dan inovasi iklim ketika kedua-dua pihak memperkukuh kerjasama dalam bidang alam sekitar dan ekonomi.
Perkara itu ditegaskan oleh Duta Sweden, Norway, Denmark dan Finland ke Malaysia, menekankan komitmen bersama mereka untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam memajukan inisiatif hijau dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Memajukan Matlamat Kelestarian Malaysia
Duta Sweden ke Malaysia Niklas Wiberg berkata rantau Nordic membawa pengalaman selama beberapa dekad dalam tindakan iklim dan inovasi mampan, dengan syarikat Nordic sudah secara aktif menyumbang di Malaysia.
“Kedutaan dan syarikat kami telah membina pengetahuan dan kapasiti pengeluaran dalam sektor hijau sejak 30 tahun lepas. Kami bersedia menyokong langkah Malaysia seterusnya.
“Perancangan dan sasarannya jelas; apa yang penting sekarang ialah pelaksanaan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena sambutan Hari Nordic 2025 di sini, baru-baru ini.
Duta Norway Morten Paulsen pula menekankan kepentingan tanggungjawab bersama dalam membina ekonomi kitaran, dengan menyatakan teknologi sahaja tidak mencukupi.
“Ia juga mengenai pendidikan dan budaya. Wujud rasa tanggungjawab komuniti dalam pengurusan sisa dan sumber. Di sinilah kami boleh menawarkan bukan sekadar teknologi, tetapi juga model sosial dan pendidikan,” katanya.
Sinergi Awam-Swasta Pacu Inisiatif Hijau
Bercakap kepada Bernama pada majlis yang sama, Duta Denmark Kirstine Vangkilde Berner menekankan nilai membina perkongsian awam-swasta yang kukuh, sambil memaklumkan bahawa kedutaan Denmark yang dibuka semula baru-baru ini memberi tumpuan besar kepada inisiatif komersial hijau.
“Malaysia mempunyai aspirasi kuat dan pelan kelestarian yang baik. Peranan kami ialah untuk menghimpunkan pihak berkepentingan yang relevan — kerajaan, industri dan masyarakat sivil — bagi mewujudkan penyelesaian bersama,” katanya.
Bagi Duta Finland Anne Vasara, kerjasama dalam ekonomi kitaran menjadi tumpuan kerana Finland merupakan negara pertama melancarkan pelan hala tuju ekonomi kitaran kebangsaan pada 2016.
Beliau berkata Finland akan memainkan peranan dalam Forum Ekonomi Kitaran ASEAN yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada Oktober ini, yang sebahagiannya dianjurkan melalui Dana Inovasi Finland, Sitra.
“Kami gembira untuk membawa kepakaran Nordic dan EU — bukan sahaja idea dan rangka kerja dasar, tetapi juga kesediaan untuk menyokong Malaysia menerusi platform seperti Forum Ekonomi Kitaran ASEAN,” katanya.
Mengenai penyelarasan teknologi alam sekitar Nordic dengan strategi nasional Malaysia, para duta menyatakan kedua-dua pihak berkongsi matlamat iklim yang sama walaupun garis masa mungkin berbeza.
“Malaysia menyasarkan sifar bersih menjelang 2050, manakala syarikat Nordic biasanya menyasarkan 2030. Ini membuka ruang untuk pembelajaran dan pecutan bersama,” kata Wiberg, sambil menambah bahawa minat Malaysia mengurangkan sisa plastik sejajar dengan komitmen EU dan Nordic.
Vasara turut menegaskan bahawa pembelajaran bersama adalah penting dengan berkata: “Kami boleh menyumbang banyak perkara, tetapi pada masa sama kami juga melihat bidang di mana kami boleh belajar daripada pengalaman Malaysia.”
FTA EU-Malaysia Perkukuh Kerjasama Melangkaui Perdagangan
Duta itu juga menekankan kepentingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) EU-Malaysia sebagai mekanisme untuk mengukuhkan bukan sahaja hubungan ekonomi, malah kerjasama alam sekitar.
“Ini adalah isu besar. Ia penting bukan sahaja untuk perdagangan tetapi juga untuk memperkukuh nilai perdagangan bebas dan adil di peringkat global.
“FTA yang berjaya akan membuktikan bahawa pertumbuhan ekonomi dan kemampanan boleh berjalan seiring,” kata Wiberg.
Paulsen berkata Norway, walaupun bukan ahli EU sedang memuktamadkan perjanjian ekonominya sendiri dengan Malaysia yang mengandungi peruntukan kukuh berkaitan kemampanan.
“Adalah satu perkembangan yang menggalakkan apabila kemampanan menjadi komponen utama dalam perjanjian perdagangan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, para duta Nordic turut menekankan minat yang semakin meningkat dalam kalangan syarikat Nordic terhadap Malaysia, khususnya dalam sektor hijau dan digital.
“Banyak syarikat Nordic telah beroperasi di Malaysia selama beberapa dekad, dan lebih banyak lagi sedang memindahkan hab serantau ke sini disebabkan kemudahan perniagaan dan ketersediaan bakat,” kata Berner.
Vasara berkata Finland akan menghantar delegasi perniagaan yang memberi tumpuan kepada teknologi dan kemampanan tidak lama lagi.
“Minat semakin meningkat dan kami melihat trajektori yang sangat positif,” katanya.
Perkukuh Perkongsian Serantau Di Bawah Pengerusi ASEAN Malaysia
Dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, negara-negara Nordic menyatakan harapan untuk memainkan peranan lebih besar dalam menyokong inisiatif iklim serantau.
“Perkapalan hijau adalah keutamaan kami di rantau ini,” kata Paulsen, sambil menambah bahawa Norway, sebagai rakan dialog sektoral ASEAN memberi tumpuan kepada penyelesaian maritim yang bersih.
Duta Sweden pula memaklumkan bahawa Sweden dan Finland adalah penandatangan kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama ASEAN (TAC), manakala EU sedang mendorong hubungan yang lebih erat dengan ASEAN menerusi kerjasama tenaga, termasuk sokongan terhadap inisiatif Grid Kuasa ASEAN.
“Kami mempunyai pasaran elektrik bersepadu sepenuhnya di rantau Nordic. Pengalaman ini boleh dimanfaatkan untuk aspirasi ASEAN,” katanya.
Vasara menambah bahawa Finland turut aktif dalam forum ekonomi kitaran serantau.
“Kami amat menantikan peluang untuk bekerjasama menganjurkan Forum Ekonomi Kitaran ASEAN di Kuala Lumpur tahun ini,” katanya.
Hari Nordic ialah sambutan tahunan yang dianjurkan oleh kedutaan Sweden, Norway, Denmark dan Finland bagi mengetengahkan nilai Nordic dan memperkukuh kerjasama dengan negara tuan rumah, khususnya dalam bidang kemampanan, inovasi dan perkongsian serantau.
-- BERNAMA