JITRA, 10 Mei (Bernama) -- Kedatangan mereka ke negara ini, khususnya di Kedah sekadar ingin bercuti namun dua guru wanita berasal dari Boston, Amerika Syarikat itu tidak menyangka berpeluang menyertai program yang mengujakan bersama kanak-kanak tempatan di Kampung Keda Malau di sini.
Lauren Chow, 32, dan Bethany Greenbaum, 31, berkata percutian mereka selama lima hari sangat bermakna apabila dijemput untuk berkongsi pengalaman dengan pelajar sekolah luar bandar sempena English Camp With Keda Community di kampung tersebut.
"Saya sangat gembira kerana dapat datang ke kem ini dan rasa teruja kerana layanan kanak-kanak kampung ini sangat mesra dan mereka tidak takut dengan orang luar," kata Lauren kepada pemberita ketika ditemui di program itu pada Jumaat lepas.
Lauren yang fasih berbahasa Melayu berkata dia sangat gembira kerana dapat kembali ke Kedah dan membantu menjayakan program meningkatkan kemahiran kanak-kanak luar bandar dalam menguasai bahasa Inggeris.
"Saya pernah mengajar Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Bendahara di Kodiang dari 2015 hingga 2016 dan saya dapat lihat pelajar di luar bandar ini sebenarnya sangat rajin dan berani," katanya.
Bethany pula berkata dia sangat gembira apabila melihat pelajar bersungguh-sungguh membina keyakinan diri dan cuba berkomunikasi dalam bahasa asing.
“Ini merupakan program pertama seumpamanya yang pernah saya sertai. Ia sangat menarik dan saya dapat lihat kesungguhan pelajar ini belajar dalam persekitaran yang menyeronokkan,” katanya.
Lauren dan Bethany kini menetap serta mengajar kelas tuisyen bahasa Inggeris di Indonesia.
Sementara itu, Koordinator Program Ku Nur Azatul Fatihah Ku Ariffin berkata kem Bahasa Inggeris tersebut merupakan antara inisiatif penduduk setempat bagi memberi pendedahan bahasa antarabangsa itu kepada pelajar, khususnya di sekolah rendah.
"Kami tidak mendapat tajaan daripada mana-mana pihak dan mengadakan kem ini secara percuma untuk komuniti KEDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah). Fasilitator terlibat adalah sukarelawan berasal dari kampung ini sendiri dan beberapa pelajar universiti.
"Kami sangat berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan sangat mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan untuk menyokong program kami demi meningkatkan prestasi pelajaran anak-anak KEDA khususnya di luar bandar," katanya.
Selain itu, Ku Nur Azatul Fatihah berkata para sukarelawan turut mengadakan kelas malam untuk murid sekolah rendah dan setakat ini maklum balas diterima daripada ibu bapa sangat memberangsangkan kerana anak-anak mereka telah menunjukkan peningkatan di sekolah.
-- BERNAMA