KUALA LUMPUR, 10 Mei 2025 -- Kumpulan pop popular Malaysia, Dolla, kembali dengan single terbaharu berjudul MWA!, yang mencerminkan kematangan perjalanan trio yang kini sudah enam tahun mewarnai industri muzik tempatan.
Lagu MWA! ciptaan Chelsea Warner, Gaston, Roland Lim Shi Jie serta tiga ahli Dolla sendiri iaitu Tabby, Sabronzo dan Angel, menampilkan bunyi segar dan eksperimental yang dijangka mampu menarik perhatian peminat.
Menurut Angel, mereka berasa sangat teruja dapat kembali bekerjasama dengan pasukan kreatif itu kerana peluang meneroka idea muzik baharu yang lebih mencabar dan menyeronokkan.
"Selepas setahun kami tidak keluar dengan single dek sibuk dengan konsert dan beberapa projek lain, tahun ini kami berjaya keluarkan MWA! untuk peminat kesayangan kami. Lagu ini seperti rebranding our identity.
“Sesi rakaman juga sangat lancar, kami banyak bereksperimen dengan pelbagai bunyi dan struktur, dan penglibatan terperinci semua ahli Dolla kali ini menjadikan proses kreatif lebih bermakna,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran single berkenaan di Bukit Bintang, di sini.
pic-2
Video muzik rasmi MWA! berdurasi 2 minit 20 saat yang diarahkan oleh Jasmine Wong juga menampilkan kelainan berbanding video muzik yang dihasilkan sebelum ini, sekali gus bakal membawa penonton menyelami naratif aksi dan ilusi yang mendebarkan daripada Dolla.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai video muzik itu, Angel berkata setiap anggota Dolla membawakan watak tersendiri dengan Sabronzo muncul sebagai pemain kad, Tabby sebagai dalang utama, manakala dirinya sebagai pejuang yang tangkas dan berani.
“Konsep kali ini lebih liar dan ‘unhinged’, sangat berbeza dengan apa yang pernah kami hasilkan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Tabby menyatakan MWA! merupakan permulaan kepada pelbagai karya baharu yang akan dibawakan Dolla sepanjang tahun ini.
“Kami anggap tahun ini sebagai ‘tahun lagu Dolla’ kerana banyak lagi lagu akan dilancarkan. Kami tak sabar untuk membawanya ke pentas dan berharap ia dapat menarik lebih ramai pendengar kerana lagu ini sangat segar dan berbeza,” katanya.
-- BERNAMA