KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengurus pelabuhan selepas disyaki memperdayakan pemegang saham sebuah syarikat, membabitkan kerugian kira-kira RM1 juta.
Menurut sumber, wanita berusia lingkungan 40-an itu dipercayai memperdayakan pemegang saham berkaitan kerja-kerja pengorekan lumpur di Pelabuhan Bagan Datoh, Perak bagi mendapatkan tuntutan bayaran melebihi nilai sebenar daripada sebuah syarikat lain.
“Suspek ditahan kira-kira pukul 6.15 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
“Perintah reman selama empat hari sehingga 11 Mei dikeluarkan Majistret Afiq Fakrul Ismail pagi ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA