SEREMBAN, 4 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah van yang dipercayai langgar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1, Paroi dekat sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata dalam insiden kira-kira 12.10 tengah malam itu, mangsa yang berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah van Toyota Hiace dipandu lelaki berusia 44 tahun bersama penumpang wanita berusia 20 tahun dari arah Senawang ke Bahau, dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat merah sebelum melanggar motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat manakala pemandu van bersama penumpangnya tidak mengalami kecederaan.
Mohamad Hatta berkata pemandu van ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya berhubung dengan pegawai penyiasat Insp Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA