KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) masih menunggu kebenaran rasmi pihak bomba sebelum dapat menjalankan sebarang penilaian teknikal di blok asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak di sini yang terbakar pada Isnin lepas.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata mengikut prosedur operasi standard (SOP), siasatan awal mesti diselesaikan pihak bomba terlebih dahulu bagi mengenal pasti punca kebakaran dan memastikan keselamatan kawasan terjamin.
"Selepas itu barulah mana-mana agensi teknikal, termasuk JKR dibenarkan masuk untuk membuat penilaian lanjut dari aspek struktur dan keselamatan bangunan.
"Saya memberi jaminan bahawa sebaik sahaja pihak bomba memberi lampu hijau, pasukan teknikal JKR akan segera turun ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Nanta berkata penilaian berkenaan penting bagi menentukan tahap kerosakan dan seterusnya mencadangkan langkah pembaikan atau pembangunan semula yang sesuai.
Beliau berkata pihak kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan serta semua agensi berkaitan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan warga sekolah terus diberi keutamaan.
"Saya mengambil maklum dan amat bersimpati dengan insiden ini. Kejadian seperti ini sememangnya amat membimbangkan terutamanya apabila melibatkan keselamatan pelajar, guru serta kakitangan sekolah.
"Saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya yang turut memaklumkan insiden berkenaan antara perkara dibincangkan pada mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Kerja Raya hari ini.
Media pada Isnin melaporkan sebuah blok asrama SMK Tinggi Setapak di sini yang menempatkan kira-kira 91 pelajar lelaki, terbakar sehingga mengakibatkan kemusnahan sebanyak 80 peratus bahagian bangunan berkenaan.
Dalam kejadian itu, kesemua pelajar dilaporkan selamat kerana berada di surau sekolah menunggu waktu isyak.
-- BERNAMA