AM

TH Bawa Jemaah Ziarah Lokasi Sejarah, Tingkat Pemahaman Islam Di Madinah

30/04/2025 05:13 PM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MADINAH, 30 April (Bernama) -- Kesemua jemaah haji Malaysia akan dibawa ziarah ke beberapa lokasi bersejarah di kota suci Madinah sebagai antara aktiviti dirangka Lembaga Tabung Haji (TH) bagi meningkatkan pemahaman terhadap sirah Nabi Muhammad SAW serta sejarah perkembangan Islam.

Pengurus Ibadat Ziarah Madinah Mohamad Zahir Hussin @ Yusof berkata jemaah akan dibawa secara berkumpulan di bawah bimbingan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) untuk menyertai aktiviti ziarah dalam dan ziarah luar.

“Melalui program ziarah dalam, jemaah haji dibawa melawat beberapa lokasi bersejarah di sekitar Masjid Nabawi, bermula di Saqifah Bani Saidah, diikuti lawatan ke Masjid Al-Ghamamah dan Masjid Saidina Abu Bakar. 

“Seterusnya, jemaah haji dibawa ke kawasan Kubah Hijau dan mereka diberikan panduan berhubung adab serta tatacara menziarahi makam Rasulullah SAW sebelum dibawa ke Perkuburan Baqi.

“Bagi program ziarah luar pula, jemaah haji akan dibawa menziarah tempat bersejarah termasuk Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud, Masjid Tujuh serta ke ladang kurma,” katanya ketika ditemui semasa program ziarah dalam anjuran TH di sini hari ini.

Kumpulan pertama sebanyak 284 jemaah haji Malaysia musim 1446H/2025 terdiri daripada 112 jemaah lelaki dan 141 jemaah wanita selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz,  kira-kira 8.04 pagi waktu tempatan semalam.

Bagi musim haji kali ini, kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia dan mereka dijangka tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat.

Sementara itu, Mayashashiela Mat Isa, jemaah haji yang mengikuti program ziarah dalam hari ini berkata beliau berpuas hati dengan penerangan yang disampaikan PIHTAS.

“Ziarah yang kami lalui sangat memberi kesan kerana banyak maklumat yang selama ini saya hanya baca atau dengar, kini saya dapat lihat dan alami sendiri selain berpeluang melawat tempat-tempat bersejarah ini secara langsung, sekali gus membuatkan saya rasa sangat bersyukur,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2418350