Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Pasaran getah ditutup rendah pada Isnin, seiring prestasi pasaran niaga hadapan serantau.
Sentimen pasaran kekal suram di tengah-tengah kebimbangan membabitkan ketidaktentuan global susulan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, kata peniaga.
Bagaimanapun, katanya, kerugian seterusnya dapat dikekang berikutan kenaikan harga minyak, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS itu selain sentimen optimis berhubung potensi pemulihan disokong oleh langkah-langkah rangsangan.
“Saham-saham China suram susulan ketidaktentuan membabitkan rundingan dagangan AS-China,” katanya kepada Bernama.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia SMR 20 turun 5.0 sen kepada 747.50 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 4.0 sen kepada 621.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA