JENAYAH & MAHKAMAH

Op Birth: Dua Wanita Direman Bantu Siasatan Kes Daftar Kelahiran Palsu

22/04/2025 03:20 PM

SHAH ALAM, 22 April (Bernama) -- Dua wanita direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan borang daftar kelahiran palsu.

Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali mengeluarkan perintah reman hingga 26 April terhadap kedua-dua individu berumur 43 dan 49 tahun itu selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang juga pembantu klinik dan berkerja sendiri itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor antara 1.10 hingga 1.15 tengah hari semalam. 

Siasatan awal mendapati ejen berusia 49 tahun itu bertindak menguruskan dan menyediakan dokumen pengesahan kelahiran bayi dari hospital sekitar Selangor.

“Pembantu klinik itu pula menyamar sebagai penjawat awam bagi membantu dalam permohonan pendaffaran kelahiran dengan menerima rasuah lebih kurang RM10,000 daripada seorang pemohon. Mereka berdua disyaki berpakat dalam urusan pemalsuan borang daftar kelahiran bayi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Media pada minggu lepas melaporkan 14 individu, termasuk tiga wanita direman lima hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan borang daftar kelahiran palsu.

Pada Mac lepas, media melaporkan SPRM menahan 16 individu terdiri daripada seorang penjawat awam, seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, seorang pengamal undang-undang serta beberapa ejen dan pemohon daftar kelahiran.

Kesemua suspek berumur 20 hingga 70 tahun ditahan antara 11 pagi hingga 8 malam menerusi Op Outlander dan Op Birth yang dijalankan di sekitar Lembah Klang serta Johor kerana disyaki menerima dan memberi rasuah, termasuk menyediakan serta mengemukakan dokumen pengesahan kelahiran palsu sejak 2013 hingga 2018 dan 2023 hingga 2025.  

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2415459