Bank Rakyat Dorong Peluang Rentas Sempadan Melalui Platform Bizmatch Di Tokyo
KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Bank Rakyat mempergiat usaha mendorong syarikat Malaysia berkembang ke luar negara melalui inisiatif “Bank Rakyat Bizmatch: Make Malaysian Businesses Great” yang diadakan bersempena dengan Forum Nikkei 2026 di Tokyo, Jepun.
Dalam kenyataan pada Selasa, Bank Rakyat menjelaskan inisiatif itu bertujuan menggalakkan pertumbuhan dan pengantarabangsaan perniagaan Malaysia.
“Platform padanan perniagaan strategik ini menghimpunkan tujuh syarikat Malaysia yang terlibat serta pemilik perniagaan, pemimpin industri, pelabur dan rakan strategik dari Jepun dan seluruh Asia,” tambah bank itu.
Hadir sama pada acara itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Shahril Mohd Shariff.
Platform itu turut menyasar untuk memupuk kerjasama antarabangsa, memudahkan akses pasaran serta meneroka peluang rentas sempadan dalam sektor pertumbuhan tinggi, menurut Bank Rakyat.
“Inisiatif ‘Bank Rakyat Bizmatch’ membuktikan komitmen berterusan bank dalam menyokong dasar kerajaan untuk memperkukuh pembangunan keusahawanan, memperluas peluang perdagangan antarabangsa dan mempercepat daya saing perniagaan tempatan di peringkat global.
“Usaha itu turut seiring dengan aspirasi KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) serta memajukan agenda ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’,” jelas Bank Rakyat.
Menurut kenyataan itu, Sim berkata beliau yakin perniagaan Jepun akan melihat syarikat pemula niaga teknologi serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia sebagai rakan strategik dalam inovasi bersama, bukan sekadar vendor tempatan.
“Melalui inisiatif BizMatch hari ini, kita secara aktif mempelawa rakan Jepun untuk lebih mendalami ekosistem keusahawanan Malaysia.
“Ini juga merupakan usaha yang tepat pada masanya, menghubungkan usahawan Malaysia dengan bakal rakan kongsi, pelabur dan pembeli dari Jepun, serta membuka ruang pertukaran pengetahuan dan kerjasama perniagaan jangka masa panjang,” katanya ketika berucap pada acara tersebut.
Mohd Irwan pula berkata platform itu memperkasakan perniagaan tanpa mengira saiz dan peringkat pertumbuhan dengan akses lebih luas kepada rangkaian, peluang dan pasaran melangkaui sempadan, di samping memupuk kemajuan ekonomi inklusif serta mendorong syarikat Malaysia merealisasikan potensi penuh masing-masing di arena global.
“Seiring dengan dinamik ekonomi global yang terus berkembang, daya tahan sahaja tidak lagi mencukupi. Perniagaan pada masa kini perlu bersifat adaptif dan inovatif.
“Paling penting, syarikat Malaysia mesti lebih terhubung di peringkat antarabangsa. Dari segi inilah institusi seperti Bank Rakyat perlu tampil dengan tujuan lebih besar,” katanya.
Beliau berkata syarikat Malaysia yang menyertainya mewakili sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi dan kepentingan strategik kepada ekonomi masa depan meliputi keterjaminan makanan, akuakultur, tenaga boleh baharu, teknologi hijau, minyak sawit, peruncitan serta pembuatan.
-- BERNAMA