AICB Iktiraf Lebih 700 Profesional Perbankan, Perkukuh Bakat Masa Hadapan Malaysia Dan Serantau
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) menzahirkan iltizam berterusan dalam memperkukuh pembangunan bakat perbankan di Malaysia dan rantau ini dengan meraikan lebih 700 profesional perbankan semasa 9th Chartered Banker Conferment Ceremony.
Dalam satu kenyataan, institut berkenaan memaklumkan majlis itu menghimpunkan ahli dari Kemboja, Maldives dan Filipina, mencerminkan pengaruh AICB yang kian berkembang serta dedikasinya untuk memartabat piawaian profesional dalam lapangan perkhidmatan kewangan.
Majlis tersebut yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menempa satu lagi pencapaian bermakna bagi profesion perbankan tatkala industri mengharungi landskap yang kian dinamik, dipacu perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), kemunculan aset digital, komitmen kelestarian serta persekitaran risiko yang semakin rencam dan kompleks.
Menurut Tinjauan Tenaga Kerja AICB 2025, sebanyak 57 peratus institusi kewangan masih pada peringkat awal penerapan AI, manakala 62 peratus menyatakan kepesatan perkembangan teknologi yang mengatasi keupayaan semasa tenaga kerja menjadi halangan utama dalam merapatkan jurang kemahiran.
Keadaan ini menuntut kesegeraan untuk memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja, keupayaan tata kelola serta pembangunan kemahiran kritikal dan baharu seiring perkembangan sektor perbankan.
Sementara itu, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Adnan Zaylani berkata tanggungjawab warga perbankan perlu berkembang melangkaui fungsi pembiayaan tradisional agar dapat memangkin pertumbuhan.
“Bank bukan sahaja berperanan sebagai perantara kewangan, malah turut menjadi pemacu strategik transformasi ekonomi.
“Seiring anjakan landskap operasi, pertumbuhan ekonomi dan industri kini semakin dibayangi risiko yang kompleks serta saling berkait sekali gus menuntut pertimbangan profesional, kefahaman kontekstual dan penilaian risiko yang lebih berpandangan jauh,” katanya dalam ucaptama sempena majlis tersebut di sini, baru-baru ini.
Pengerusi AICB Tan Sri Azman Hashim pula memberitahu sektor perbankan Malaysia perlu meletakkan keutamaan yang sama terhadap pelaburan bagi pembangunan modal insan seperti mana pembangunan teknologi.
Beliau berkata tatkala AI, aset digital dan agenda kelestarian mencorak semula landskap perkhidmatan kewangan, industri memerlukan warga perbankan yang berupaya memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, mengurus risiko baharu serta mengekalkan keyakinan awam.
“Kelayakan profesional AICB bersama inisiatif seperti Future Skills Framework (FSF) dan FSF Xcel iaitu platform penilaian kemahiran, direka untuk membantu institusi perbankan mengenal pasti, membangun dan mengekalkan kemahiran yang diperlukan bagi melahirkan tenaga kerja berdaya tahan selain bersedia menempuhi masa depan,” katanya.
Presiden Chartered Banker Institute (CBI), United Kingdom, Paul Denton berkata profesional perbankan bukan sahaja perlu menguasai teknologi baharu, malah dituntut untuk menampilkan pertimbangan profesional yang ampuh, kepimpinan beretika serta pertanggungjawaban jangka panjang.
Pada majlis tersebut, AICB menganugerahkan status Fellow Chartered Banker kepada tujuh tokoh perbankan terkemuka selain menganugerahkan status Chartered Banker kepada 114 ahli dan meraikan 611 Associate Chartered Banker selain penerima Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Korporat.
Majlis tahun ini mencatat sejarah baharu buat AICB apabila Vorn Samedy dari Wing Bank (Cambodia) PLC dan Thong Min Fong dari Hong Leong Bank Bhd diiktiraf sebagai Overall Subject Prize Global Winners oleh Chartered Banker Institute, menerusi pengajian masing-masing dalam bidang Perbankan Komersial dan Pengurusan Risiko Bank.
“Pengiktirafan tersebut diberikan kepada mereka yang memperoleh markah tertinggi di peringkat global sekali gus merupakan ahli AICB pertama menerima penghormatan berprestij ini,” jelas AICB.
Majlis berkenaan turut mengiktiraf Kumpulan Public Bank selaku Platinum Winner of the Leading Bank for Professional Development Award atas pencapaian mempunyai jumlah pekerja bertauliah tertinggi dalam kalangan Bank Ahli Korporat AICB pada 2025.
Sementara itu, Kumpulan Maybank menerima Leading Bank for Chartered Banker Award kerana melahirkan jumlah Chartered Banker tertinggi pada 2025.
Kelayakan utama Chartered Banker yang ditawarkan AICB dilaksanakan bersama Chartered Banker Institute, United Kingdom sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pengiktirafan profesional perbankan bertaraf global.
-- BERNAMA