Ringgit Dijangka Diniagakan Antara 3.95 Dan 3.97 Berbanding Dolar AS Minggu Depan
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara RM3.95 hingga RM3.97 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan disebabkan minggu dagangan yang lebih pendek.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan pada minggu depan akan menjurus kepada data inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS untuk April.
"PCE nampaknya berkemungkinan pada paras yang agak tinggi dengan mengambil kira harga petrol yang meningkat sepanjang April. Di samping itu, ia merupakan minggu dagangan yang singkat sempena cuti perayaan Aidiladha pada Rabu.
"Sehubungan itu, ringgit akan kekal diniagakan dalam jajaran kecil," tambah beliau.
Mohd Afzanizam berkata walaupun ringgit dijangka bergerak dalam jajaran kecil, matriks makroekonomi Malaysia adalah kukuh.
"Lebihan dalam imbangan akaun semasa kita melebar kepada 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini daripada 0.5 peratus pada suku keempat tahun lepas.
"Defisit fiskal pula mengecil kepada 3.3 peratus daripada KDNK pada suku pertama 2026 daripada 4.5 peratus pada suku pertama 2025," katanya.
Beliau turut menyatakan rizab pertukaran asing Malaysia telah meningkat kepada US$129.5 bilion setakat 15 Mei, 2026 berbanding US$125.5 bilion pada 31 Disember, 2025.
Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS kepada 3.9655/9700 pada Jumaat daripada 3.9515/9580 pada minggu sebelumnya.
Unit tempatan itu diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama pada minggu ini.
Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.3245/3305 daripada 5.2749/2835, lemah berbanding euro kepada 4.6012/6064 daripada 4.5948/6024, tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4925/4954 daripada 2.4927/4968.
Ringgit juga diniagakan lebih rendah berbanding mata wang serantau.
Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 223.8/224.1 daripada 224.5/225.0, bagaimanapun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0985/1023 daripada 3.0871/0927, merosot berbanding baht Thailand kepada 12.1421/1611 daripada 12.0989/1247 dan menurun berbanding peso Filipina kepada 6.42/6.44 daripada 6.40/6.41.
Pasaran akan ditutup pada 27 Mei bersempena dengan cuti perayaan Aidiladha dan kembali beroperasi pada 28 Mei.
Ia juga akan ditutup pada 1 dan 2 Jun sempena cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan Hari Wesak, sebelum beroperasi semula pada 3 Jun.
-- BERNAMA