Pasaran Getah Cenderung Diniagakan Lebih Rendah Minggu Depan
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Pasaran getah dijangka diniagakan dengan kecenderungan lebih rendah minggu depan dipacu oleh bekalan getah baharu susulan berakhirnya tempoh musim sejuk, kata pakar industri Denis Low.
Low berkata taburan hujan berlaku secara berterusan, namun tidak terlalu lebat sehingga menjejaskan aktiviti menoreh.
“Terdapat lambakan bekalan yang memanfaatkan paras harga tinggi semasa dan terus dipacu oleh aktiviti spekulatif dalam kalangan pengusaha serta peniaga.
“Pasaran sedang menunjukkan reaksi rintangan (menolak kenaikan harga) dan mereka sewajarnya berhati-hati. Terdapat juga bekalan getah sintetik yang mencukupi,” katanya kepada Bernama.
Senada dengan Low, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menyatakan pasaran diunjurkan untuk diniagakan dalam jajaran kecil.
Menurut persatuan itu, musim monsun dijangka reda yang sepatutnya dapat menambah baik bekalan getah mentah.
Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 9.5 sen kepada 889 sen sekilogram manakala lateks pukal menyusut 10.5 sen kepada 765 sen sekilogram.
-- BERNAMA