BERITA TERKINI   Isu kesesakan dan kekurangan mesin pengimbas di Linkedua akan dibawa ke KDN - Loke | Dua sindiket pengedaran dadah tumpas, dadah RM4.7 juta dirampas dalam operasi di Johor Bahru - Polis | Seramai 60,000 pelajar disasar terima manfaat MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) dengan peruntukan RM18.5 juta - Anthony Loke | Tiga individu ditahan bantu siasatan kes lelaki maut ditembak di Skudai pada 9 Mei lepas - Polis | PRN Johor tidak dibincangkan dalam Mesyuarat MT UMNO dan pertemuan dengan Agong hari ini - Ahmad Zahid | 

Indeks Volum Perkhidmatan Malaysia Naik 5.8 Peratus Pada Suku Pertama 2026 - DOSM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Indeks volum perkhidmatan Malaysia mencatat pertumbuhan 5.8 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026 kepada 168.0 mata, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Indeks itu meliputi empat segmen iaitu perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan; perkhidmatan perniagaan dan kewangan; maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan; dan perkhidmatan lain, katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata secara keseluruhan, pertumbuhan Indeks Volum Perkhidmatan pada suku tahun pertama 2026 didorong terutamanya oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan yang berkembang sebanyak 5.7 peratus.

“Ini diikuti segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan yang mencatatkan peningkatan 8.1 peratus.

“Sementara itu, segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan meningkat 3.0 peratus, manakala segmen perkhidmatan lain mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 9.3 peratus,” katanya.

DOSM berkata indeks volum bagi segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan meningkat 5.7 peratus kepada 166.3 mata, disokong pertumbuhan perdagangan borong dan runcit (4.9 peratus), makanan dan minuman (8.5 peratus) serta penginapan (15.0 peratus).

“Pada masa sama, segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan meningkat 8.1 peratus kepada 191.2 mata, dipacu pertumbuhan subsektor maklumat dan komunikasi (8.0 peratus) serta pengangkutan dan penyimpanan (8.3 peratus),” katanya.

Sementara itu, jabatan itu berkata segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan merekodkan indeks volum sebanyak 156.8 mata dengan pertumbuhan 3.0 peratus.

“Peningkatan ini disokong oleh subsektor perkhidmatan profesional serta pentadbiran dan sokongan (6.2 peratus), diikuti hartanah (7.4 peratus) dan kewangan serta insurans (0.1 peratus), mencerminkan aktiviti perniagaan yang stabil serta keadaan pasaran yang menyokong sepanjang suku berkenaan,” katanya.

Selain itu, DOSM berkata segmen perkhidmatan lain berkembang 9.3 peratus kepada 146.9 mata, didorong peningkatan dalam subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi serta perkhidmatan persendirian dan aktiviti lain (8.8 peratus), kesihatan swasta (9.7 peratus) dan pendidikan swasta (9.3 peratus).

-- BERNAMA