Pasaran Getah Ditutup Rendah Susulan Niaga Hadapan Serantau Yang Lemah
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Isnin dipengaruhi oleh pasaran niaga hadapan getah serantau meskipun harga minyak mentah lebih kukuh, kata seorang peniaga.
Beliau berkata niaga hadapan getah serantau kekal di bawah tekanan dengan penurunan dilihat pada Getah Spesifikasi Teknikal (TSR) 20 di Shanghai Futures Exchange (SHFE).
“Sentimen kekal berhati-hati dipacu oleh kebimbangan terhadap permintaan kenderaan domestik yang lemah di China serta ketidaktentuan yang lebih meluas menyelubungi keadaan ekonomi dan perdagangan global.
“Jualan kenderaan domestik China merosot bagi bulan ketujuh berturut-turut pada April di tengah-tengah persaingan sengit dan permintaan pengguna yang suram,” kata peniaga itu kepada Bernama.
Beliau juga berkata harga minyak melonjak selepas Donald Trump menolak maklum balas Iran terhadap cadangan damai Amerika Syarikat (AS) yang mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan di Selat Hormuz.
Sewaktu berita ini ditulis, minyak mentah Brent meningkat 2.08 peratus kepada US$97.40.
Peniaga itu menyatakan penurunan sebahagiannya telah diimbangi oleh peningkatan optimisme terhadap perbincangan perdagangan AS-China yang akan datang, data eksport dan inflasi China yang lebih kukuh serta kebimbangan bekalan dalam pasaran minyak global.
China mengesahkan Presiden Xi Jinping dan Trump akan bertemu di Beijing pada Rabu sekali gus meningkatkan optimisme terhadap pengurangan ketegangan perdagangan.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 susut sebanyak 0.5 sen kepada 882 sen sekilogram manakala lateks pukal juga merosot 0.5 sen kepada 755.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA