Malaysia, EU Di Peringkat Akhir Meterai Perjanjian Perdagangan Bebas
Daripada Fadzli Ramli
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April (Bernama) -- Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) kini pada peringkat akhir untuk menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan memuktamadkan perkongsian komprehensif dalam usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dan hubungan dua hala.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkembangan positif itu disebabkan EU kini melihat rantau Asia Tenggara sebagai sebuah blok strategik dan penting berikutan pengenaan tarif unilateral Amerika Syarikat (AS) serta ketidakstabilan akibat konflik Rusia-Ukraine.
Tanpa menyatakan tempoh masa tertentu untuk menandatangani perjanjian itu, beliau berkata Malaysia mahu memuktamadkannya dengan kadar segera supaya boleh menjadi pemangkin dalam usaha merancakkan perdagangan antara Malaysia dan EU.
“Ini juga saya sebutkan tadi ketika pertemuan dengan wakil EU,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dua hala bersama Wakil Tinggi EU untuk Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan Kaja Kallas, di luar Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN-EU (AEMM) ke-25 di sini hari ini.
Pada 25 Sept tahun lepas, Pesuruhjaya Perdagangan EU Maros Sefcovic dilaporkan berkata FTA Malaysia dan EU dijangka dimuktamadkan tahun ini, dengan nilai perdagangan antara Malaysia dan Eropah yang mencecah 46 bilion euro dijangka berkembang dengan pesat sebaik perjanjian itu dilaksanakan.
Mohamad berkata pada pertemuan dengan Kallas juga, beliau turut membangkitkan kempen antiminyak sawit yang kuat di Eropah.
Beliau menegaskan kempen itu sama sekali tidak berlandaskan kepada asas-asas saintifik, sebaliknya digerakkan oleh pelobi-pelobi industri minyak pesaing dari negara jiran.
"Saya katakan bahawa itu tidak adil kerana melabelkan makanan yang mengandungi minyak kelapa sawit jelas melanggar etika perdagangan," katanya.
Menurut beliau, Kallas memahami serta bersetuju dengan asas hujah yang dikemukakan Malaysia dan menyatakan kesediaan pihak EU untuk membantu menangani kempen ketidakadilan tersebut.
Berhubung mengenai Peraturan Penyahhutanan EU (EUDR), Mohamad menggesa agar tidak menyamakan tahap kelestarian hutan Malaysia dengan amalan di negara-negara lain.
"Muka bumi kita lebih 55 peratus masih lagi diliputi hutan tropika dan kita tidak memusnahkan hutan untuk menanam kelapa sawit," tegasnya.
Majoriti industri kelapa sawit di Malaysia diuruskan secara profesional oleh syarikat-syarikat perladangan besar yang mematuhi sepenuhnya piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), jelas Mohamad.
Sehubungan itu, beliau meminta EU membuat penelitian terperinci mengenai pengurusan lestari estet kelapa sawit di Malaysia yang telah diiktiraf dengan standard yang tinggi sebelum mengenakan sebarang diskriminasi.
Dalam pada itu, Mohamad berkata fokus Malaysia kini adalah mengeksport minyak sawit yang telah diproses dan mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi dan bukan sekadar mengeksport minyak sawit mentah.
Katanya minyak sawit diproses bukan sahaja digunakan sebagai minyak masak, malah digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor industri hiliran yang lain termasuk pembuatan coklat.
"EU merupakan pengimport terbesar minyak kelapa sawit yang sudah diproses. Jadi ini merupakan satu pasaran yang menguntungkan kita dan sebab itu kita perlu melawan kempen antiminyak kelapa sawit ini dengan begitu tegas," katanya.
Beliau berkata dengan penjelasan berterusan, EU diharap akan lebih memahami amalan sebenar pengurusan industri sawit di Malaysia dan tidak lagi melindungi pelobi-pelobi antisawit yang boleh menjejaskan nilai perdagangan antarabangsa.
-- BERNAMA