BERITA TERKINI   Piala Uber: Jepun 1 Malaysia 0: Akane Yamaguchi kalahkan K. Letshanaa 21-19, 21-17 | Piala Thomas: Malaysia 4 Finland 1: Soh Wooi Yik-Tee Kai Wun menewaskan Ananda Galvani Daniswara-Alvar Melleri 21-7, 21-14 | Piala Thomas: Malaysia 0 Finland 1: Leong Jun Hao kalah kepada Joakim Oldorff 17-21, 15-21 | Isu Kerajaan Negeri Sembilan: UMNO pusat akan bertemu ADUN UMNO negeri dalam masa terdekat - Ahmad Zahid | UMNO akan bertemu PM Anwar, bincang isu Kerajaan Negeri Sembilan - Ahmad Zahid | 

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Susulan Harga Minyak Kukuh, Data Positif China

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi hari ini, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan data positif dari China, kata peniaga.

Beliau berkata harga minyak meningkat berikutan rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran terhenti manakala penghantaran minyak yang terhad melalui Selat Hormuz menyebabkan bekalan minyak global berkurangan.

Setakat ini, minyak mentah Brent meningkat 2.28 peratus kepada US$107.70 setong.

Menurut peniaga, sentimen pasaran turut disokong oleh data ekonomi yang memberangsangkan dari China.

“Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS) melaporkan bahawa keuntungan syarikat perindustrian China meningkat 15.5 peratus pada suku pertama berbanding tahun sebelumnya manakala perbelanjaan fiskal naik 2.6 peratus dalam tempoh sama apabila Beijing meningkatkan sokongan terhadap pertumbuhan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan selanjutnya dikekang oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar AS berikutan rundingan AS-Iran yang terhenti.

Setakat 3 petang ini, Getah Mutu Malaysia SMR 20 meningkat sembilan sen kepada 850 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 0.5 sen kepada 758 sen sekilogram.

-- BERNAMA