BERITA TERKINI   Piala Thomas: Malaysia 4 Finland 1: Soh Wooi Yik-Tee Kai Wun menewaskan Ananda Galvani Daniswara-Alvar Melleri 21-7, 21-14 | Piala Thomas: Malaysia 0 Finland 1: Leong Jun Hao kalah kepada Joakim Oldorff 17-21, 15-21 | Isu Kerajaan Negeri Sembilan: UMNO pusat akan bertemu ADUN UMNO negeri dalam masa terdekat - Ahmad Zahid | UMNO akan bertemu PM Anwar, bincang isu Kerajaan Negeri Sembilan - Ahmad Zahid | Malaysia kekal terbuka kepada pelaburan dari Timur dan Barat serta kerjasama dengan syarikat yang menghormati undang-undang dan keutamaannya - PM Anwar | 

Amcor Buka Kemudahan Pembungkusan Penjagaan Kesihatan Bernilai AS$35 Juta Di Selangor

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Syarikat penyelesaian pembungkusan global, Amcor telah membuka kemudahan salutan pembungkusan penjagaan kesihatan canggih di Subang Jaya, Selangor pada 24 April, mewakili pelaburan lebih AS$35 juta (AS$1=RM3.96).

Dibantu oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kemudahan itu menandakan pengembangan ketara rangkaian pembuatan Amcor di Malaysia dan Asia Tenggara.

Dalam kenyataan bersama, MIDA memaklumkan bahawa fasiliti itu memperkenalkan teknologi salutan air-knife ke rantau ini bagi penghasilan kertas perubatan bersalut yang digunakan dalam pembungkusan peranti perubatan steril.

“Pelaburan ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bersepadu untuk pembungkusan penjagaan kesihatan, meningkatkan daya tahan rantaian bekalan melalui akses tempatan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan Amcor mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat strategik untuk pembuatan canggih di rantau ini.

“Selain mengembangkan kapasiti, kemudahan ini memperkukuh daya tahan rantaian bekalan tempatan, mempercepatkan penggunaan teknologi dan menyokong pembangunan bakat mahir rakyat Malaysia, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Aspirasi Pelaburan Negara MIDA.

“MIDA akan terus memudahkan pelaburan berkualiti tinggi yang menjana nilai jangka panjang mampan untuk Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Presiden Amcor Flexibles Asia Pasifik, Chris Kenneally berkata kemudahan itu menggariskan komitmen jangka panjang syarikat untuk menyokong rakan kongsinya dalam sektor penjagaan kesihatan di Asia Pasifik.

“Ia juga membuktikan keutuhan kerjasama merentas rangkaian global kami dalam membekalkan keupayaan canggih ke rantau ini serta memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada para pelanggan,” katanya.

Menurut MIDA, pelaburan Amcor ini menambah lagi rangkaian komitmen bernilai tinggi yang semakin meningkat dalam industri peranti perubatan di Malaysia.

Pada 2025, Malaysia meluluskan pelaburan peranti perubatan sebanyak RM152 juta, menandakan keyakinan global yang berterusan terhadap negara ini sebagai pangkalan pembuatan pilihan untuk industri penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA