BERITA TERKINI   Kerajaan giat pelbagaikan sumber import minyak dan gas dari negara lain bagi jamin bekalan tenaga negara - PM Anwar | PM Anwar sifatkan penyebaran berita palsu ketika krisis sebagai pengkhianatan kepada negara | Kerajaan bertindak awal menampan impak krisis tenaga global menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat - PM Anwar | Konflik di Asia Barat dijangka lebih parah, pemulihan ambil masa panjang - Anwar | Kerajaan setuju laksana kerja dari rumah bagi kementerian, agensi, badan berkanun dan syarikat GLC bermula 15 April - Anwar | 

MACPMA, Perodua Sokong Pendirian MITI Selaras Pelaburan Automotif Dengan Objektif Negara

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) --  Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA) menyokong pendirian Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bahawa insentif pelaburan automotif serta lesen pembuatan perlu diselaraskan dengan objektif pembangunan negara.

Persatuan itu memaklumkan insentif berkenaan merangkumi pemindahan teknologi, peningkatan keupayaan, serta pertumbuhan berterusan pengeluar komponen tempatan Tier-1, Tier-2 dan Tier-3.

“Pendekatan sedemikian amat penting bagi mengekalkan serta memperkukuh ekosistem vendor sedia ada yang telah dibangunkan melalui pelaburan dan pembangunan industri selama beberapa dekad,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

MACPMA turut menyatakan sokongan penuh terhadap penjelasan MITI mengenai dasar pelaburan automotif Malaysia yang dilaksanakan secara seragam dan konsisten kepada semua pelabur.

“Kami mengiktiraf komitmen MITI dalam mengekalkan persekitaran pelaburan yang terbuka dan mesra pelabur, di samping memastikan pelaburan automotif baharu memberi sumbangan bermakna kepada kelestarian jangka panjang ekosistem automotif negara.

“Penekanan terhadap orientasi eksport, penyetempatan serta integrasi dengan rantaian bekalan domestik amat penting dalam memperkukuh asas perindustrian dan daya saing perdagangan Malaysia,” katanya.

Selain itu, persatuan berkenaan turut bersetuju dengan kementerian bahawa dasar tersebut bersifat pembangunan dan bukannya perlindungan, sekali gus memastikan pelaburan asing melengkapi serta memperkukuh pemain industri tempatan, di samping mewujudkan nilai mampan di seluruh rantaian nilai automotif.

“Sebagai badan yang mewakili pengeluar komponen automotif Malaysia, kami kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan MITI dan pihak berkepentingan lain dalam menyokong dasar yang menggalakkan pertumbuhan inklusif, daya tahan serta daya saing jangka panjang ekosistem automotif Malaysia,” menurutnya.

Sementara itu, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyokong pendirian MITI dalam menggalakkan pelaburan selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP).

Pengeluar kereta itu memaklumkan panduan yang digariskan mengikut NAP akan terus memperkukuh ekosistem industri automotif serta mewujudkan limpahan ekonomi yang signifikan, sekali gus memupuk kemakmuran bersama untuk semua pihak berkepentingan.

“Menerusi visi Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV) di bawah NAP, rakyat Malaysia akan menikmati nilai tambah serta inovasi mobiliti yang lebih besar, yang memberi manfaat kepada majoriti rakyat,” menurutnya.

-- BERNAMA