BERITA TERKINI   Kerajaan giat pelbagaikan sumber import minyak dan gas dari negara lain bagi jamin bekalan tenaga negara - PM Anwar | PM Anwar sifatkan penyebaran berita palsu ketika krisis sebagai pengkhianatan kepada negara | Kerajaan bertindak awal menampan impak krisis tenaga global menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat - PM Anwar | Konflik di Asia Barat dijangka lebih parah, pemulihan ambil masa panjang - Anwar | Kerajaan setuju laksana kerja dari rumah bagi kementerian, agensi, badan berkanun dan syarikat GLC bermula 15 April - Anwar | 

Program AUM Agrobank Bantu Lebih Banyak Syarikat Tingkatkan Jualan

SUNGAI PETANI, 1 April ( Bernama) -- Usaha yang dilaksanakan Agrobank dalam membantu usahawan di negara ini mengembangkan perniagaan mereka membuahkan hasil apabila lebih banyak syarikat yang berjaya meningkatkan jualan masing-masing pada tahun lepas.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata sebanyak 41 syarikat yang menyertai Program Agrobank Upward Migration (AUM) pada tahun lepas menunjukkan peningkatan prestasi jualan. 

"Dari segi prestasi jualan, sebanyak 41 syarikat mencatat peningkatan hasil berbanding tahun sebelumnya, dengan jumlah jualan terkumpul bagi 2025 adalah sebanyak RM38,717,074.24, iaitu peningkatan sebanyak RM 9,783,335 (33.8 peratus) berbanding tahun sebelumnya.

"Rekod peningkatan hasil jualan ini mencerminkan keberkesanan pelaksanaan Program AUM dalam meningkatkan daya saing usahawan tempatan serta memperkukuh kapasiti perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata inisiatif AUM yang dikendalikan oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE) itu bertujuan memperkasakan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor keterjaminan makanan supaya terus berkembang secara mampan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

"Melalui bimbingan jurulatih Agrobank serta usaha gigih para usahawan, sebanyak sembilan syarikat berjaya memperoleh pembiayaan tambahan dengan jumlah keseluruhan RM546,000 menerusi Program AUM," katanya.

Sementara itu, sebanyak 51 usahawan tempatan dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang menyertai AUM diraikan dalam Majlis Aspirasi Kecemerlangan yang diadakan di sebuah hotel dekat sini, malam tadi.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata Majlis Aspirasi Kecemerlangan kali ini menjadi platform untuk meraikan pencapaian usahawan dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, yang telah menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Beliau berkata program AUM dirangka sebagai inisiatif pembangunan usahawan selama 12 bulan yang mengintegrasikan pembelajaran teori dan aplikasi praktikal, malah pendekatan ini diperkukuh melalui modul komprehensif merangkumi pengurusan kewangan, strategi pemasaran digital, perancangan hala tuju syarikat serta amalan pengurusan perniagaan berstandard korporat.

Pada majlis sama, Agrobank turut mengiktiraf lima syarikat yang mencatat pencapaian cemerlang dalam pelbagai kategori termasuk Peningkatan Jualan yang diberikan kepada syarikat Bertuah Ventures Enterprise yang mengusahakan restoran ayam penyet; Pengembangan Perniagaan (Herbagus Trading (pemprosesan produk makanan kesihatan)); Penciptaan Pekerjaan (AHN Legacy Trading (pembekal dan peniaga ayam gunting)); Penciptaan Inovasi (Yushita Food Industri (pembekal dan penjual keropok lekor)); serta Penambahan Kapasiti (Pembiayaan) (Wan Onion Trading (pemborong dan makanan kering)).

Penerima anugerah Penciptaan Pekerjaan, Muhammad Afif Hidayat Muhammad Nazri, 25, berkata Program AUM sangat membantu beliau dalam merekodkan jualan secara lebih sistematik.

"Dulu saya bermasalah dengan akaun, jualan ada banyak tetapi tidak nampak ke mana untung itu pergi. Sekarang semua untung rugi dapat direkodkan secara terperinci.

"Menerusi pembiayaan Agrobank pula saya dapat mengembangkan lagi perniagaan. Saya bermula dengan sebuah kanopi kecil di pekan Pendang dan bermodalkan RM2,000, kini saya mempunyai sembilan cawangan dengan 13 pekerja," katanya.

Bagi penerima anugerah Peningkatan Jualan, Muhammad Tuah Nur Alif Sahazali, 34, pula Program AUM disifatkan sebagai 'cikgu' yang membantu menetapkan hala tuju dan mengembangkan perniagaannya.

"Sebelum ini, kita jadi macam mati kutu, kita tak tahu nak buat macam mana, macam orang tak ada cikgu, bila ada sesi 'coaching', ada 'cikgu' yang banyak tolong kita.

"Dengan bimbingan, kami dapat tingkatkan jualan dan kini kami sudah mempunyai dua cawangan, iaitu di Nibong Tebal dan Batu Kawan, Pulau Pinang," katanya.

Seorang lagi penerima anugerah Pengembangan Perniagaan, Azuki Tahir, 59, berkata beliau bekerjasama dengan Agrobank sejak 2014 dan kini sudah memiliki kilang kedua di Pulau Pinang.

"Perniagaan kami bermula dengan ladang sendiri yang mengusahakan dan menghasilkan produk kesihatan berasaskan misai kucing, namun kini kami turut buat 'satellite farming' yang dapat bantu lebih ramai masyarakat menjana pendapatan," katanya.

-- BERNAMA