BERITA TERKINI   Kelayakan Piala Asia 2027: Vietnam 3-1 Malaysia | Jabatan Peguam Negara akan ambil tindakan lanjut terhadap Bloomberg - KSN | Kerajaan nafi dakwaan Bloomberg bahawa PM minta jawatankuasa khas tangguh pendedahan siasatan pemilikan saham Azam Baki - KSN | Kerajaan kekalkan bantuan BUDI Diesel RM300 bagi April yang akan disalurkan mulai 8 April, manfaatkan 340,000 penerima dengan peruntukan RM102 juta - MoF | 

Sistem Kewangan Yang Progresif Dan Inklusif Jadi Keutamaan BNM Pada 2026

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) – Bank Negara Malaysia (BNM) telah menetapkan beberapa keutamaan untuk  tahun 2026 dalam usaha membina sistem kewangan yang inklusif dan progresif.

Keutamaan ini termasuk mempercepatkan skim jaminan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengakses pembiayaan dengan lebih mudah serta menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab bagi mengecilkan jurang akses serta perlindungan.

BNM juga sedang memperluaskan program literasi kewangan untuk  memperkasakan isi rumah selain membuat pembaharuan dalam sektor insurans dan takaful bagi memastikan produk industri itu kekal mampan serta mampu dimiliki oleh rakyat.

Selain itu, pendigitalan akan terus diperkukuhkan secara selamat melalui ekosistem kewangan terbuka, tadbir urus AI yang berkesan dan sistem identiti digital yang boleh dipercayai.

Pada 2025, BNM akan menumpukan usaha untuk melaksanakan strategi dalam Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 yang belum disempurnakan.

“Strategi ini dirangka untuk mewujudkan satu sistem kewangan yang mudah diakses, berdaya tahan dan bersedia bagi menyokong agenda transformasi digital serta pembangunan mampan negara.

“Untuk tujuan ini, inisiatif telah diambil bagi memperluaskan pilihan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro, mempertingkatkan kemahiran serta tahap celik kewangan masyarakat termasuk menggerakkan inovasi bertanggungjawab yang memberikan manfaat secara selamat dan berskala,” kata Bank Negara Malaysia melalui Laporan Tahunan 2025 yang dikeluarkan hari ini.

BNM juga berkata inisiatif 2025 turut melibatkan pelaksanaan pembaharuan penanda aras yang diteruskan bagi menyokong peralihan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) kepada Kadar Semalaman Malaysia (MYOR) dan Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) secara lancar serta teratur.

“Pembaharuan ini merupakan langkah awal untuk memelihara kekukuhan penanda aras kewangan domestik Malaysia,” katanya.

Mulai 2026, BNM akan mengubah model dana PKS daripada model pinjaman langsung kepada model berasaskan jaminan.

“Peralihan ini mencerminkan keperluan untuk model pembiayaan yang boleh diperluas, dengan sistem kewangan memainkan peranan utama dalam  berkongsi risiko secara lebih berkesan.

“Skim jaminan bersasar boleh mengurangkan keperluan cagaran, serta menggalakkan bank dan Institusi Kewangan Pembangunan untuk menyalurkan pembiayaan kepada segmen yang berdaya maju tetapi kurang mendapat perkhidmatan kewangan, sambil menarik lebih banyak pembiayaan swasta ke dalam sektor keutamaan,” katanya.

Skim tersebut akan menyokong pelaburan dalam segmen yang tiada dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan, segmen inovasi dan transformasi, serta segmen berorientasikan iklim.

“Rangka kerja peralihan ini sedang dibentuk secara aktif melalui libat urus dengan kumpulan dan persatuan PKS termasuk komuniti kewangan bagi memastikan penjajaran dan impak yang lebih meluas,” katanya.

Menjelang akhir 2025, kelima-lima bank digital telah memulakan operasi, menandakan satu pencapaian penting dalam rangkuman kewangan dan secara kolektif telah berkhidmat kepada 2.4 juta pelanggan, dengan jumlah deposit sebanyak RM4.2 bilion.

“Kira-kira 65 peratus  pelanggan terdiri daripada segmen yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan termasuk isi rumah berpendapatan rendah, pekerja gig dan golongan belia. Sesetengah bank digital juga telah mula menawarkan pembiayaan bernilai kecil.

“Daripada RM1 bilion pembiayaan yang diluluskan, sebanyak 34 peratus disalurkan kepada pelanggan dalam segmen yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Walaupun jumlahnya masih kecil pada peringkat seawal ini, pencapaian tersebut mencerminkan kemajuan yang bermakna dalam menangani keperluan kewangan yang belum tercapai,” katanya.

Menuju masa hadapan, BNM berkata ia akan terus menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab dengan membangunkan garis panduan industri dan amalan terbaik, memudah cara perkongsian pengetahuan serta menyokong pembangunan tenaga mahir.

“Usaha meningkatkan kesedaran orang ramai melalui program pendidikan dan literasi kewangan juga akan diperkukuh. 

“Kesemua langkah ini bertujuan memastikan AI diadaptasi untuk mempertingkatkan perkhidmatan kewangan dengan cara yang menghasilkan nilai sebenar, seperti pengesanan penipuan yang lebih berkesan, pengalaman pelanggan yang lebih baik serta pengurusan risiko yang lebih mantap,” katanya bank itu lagi.

 

--BERNAMA