BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

MBSB IB: Kenaikan Harga Minyak Beri Tekanan Kepada Sektor Hartanah

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Sektor hartanah Malaysia berpotensi berdepan penurunan sederhana sekiranya harga minyak kekal tinggi, berikutan peningkatan kos bahan api yang mendorong kenaikan kos pengangkutan serta kos pembinaan, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Dalam nota penyelidikan, bank pelaburan itu berkata meskipun syarikat hartanah tempatan tidak terdedah secara langsung kepada ketegangan geopolitik di Asia Barat, lonjakan harga minyak dijangka memberi kesan tidak langsung kepada sektor berkenaan.

“Kenaikan harga minyak akan meningkatkan kos sara hidup dan mengurangkan pendapatan boleh guna, sekali gus menjejaskan kemampuan serta minat pembeli terhadap hartanah,” katanya.

MBSB IB turut menjangkakan lebihan hartanah yang tidak terjual akan menjadi kebimbangan utama sektor ini, manakala kenaikan harga minyak boleh memperlahankan pertumbuhan permintaan hartanah.

Bagaimanapun, prospek jangka terdekat kekal positif dengan permintaan dijangka stabil, disokong oleh projek pemangkin seperti Sistem Transit Rapid Johor Bahru–Singapura (RTS) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Sementara itu, permohonan pinjaman dijangka lebih lemah pada Februari 2026 berikutan musim perayaan, namun minat pembelian bagi keseluruhan tahun 2026 masih diunjurkan mencatat pertumbuhan sederhana, katanya.

-- BERNAMA