BERITA TERKINI   Satu daripada 22 kapal misi GSF yang dipintas tentera Israel berjaya dihubungi setakat 7 malam ini - Fahmi | Mahkamah Majistret Tenom perintahkan Ebit Lew membela diri atas 11 tuduhan berkaitan gangguan seksual  | PM Anwar kutuk tindakan ganas rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan GSF, sifatkan ia pelanggaran nyata undang-undang maritim | GSF: Kerajaan bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat, pastikan rakyat Malaysia yang ditahan dibebaskan segera - PM Anwar | Ketidaktentuan global bukan bersifat sementara, kerajaan perlu bersedia dengan langkah yang realistik dan mampan - Amir Hamzah | 

Batik Air Sesuaikan Caj Bahan Api Untuk Laluan Terpilih Susulan Kenaikan Harga Minyak Jet

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Batik Air Malaysia melaksanakan penyesuaian sederhana bagi beberapa laluan terpilih, termasuk caj tambahan bahan api yang disusun mengikut kategori laluan, susulan peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga minyak jet.

Ketua Pegawai Eksekutif Chandran Rama Muthy, berkata langkah itu bukan bertujuan untuk memindahkan sepenuhnya kos tambahan kepada penumpang, tetapi hanya untuk mengimbangi sebahagian perbelanjaan bahan api, sambil mengekalkan daya saing dan memastikan penumpang terus menikmati harga tiket yang adil dan fleksibel.

“Langkah ini dikaji secara berkala selaras dengan perkembangan pasaran dan harga bahan api,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa harga tiket Batik Air bersifat dinamik, mencerminkan penawaran dan permintaan pasaran, dan ia berubah mengikut persekitaran persaingan.

"Apabila kos meningkat, harga tiket mungkin akan diselaraskan dengan sewajarnya, dan apabila kos berkurangan, harga tiket turut disesuaikan,” jelasnya.

Beliau menjelaskan harga tiket Batik Air bersifat dinamik, tidak tetap tetapi berubah mengikut penawaran dan permintaan pasaran serta tahap persaingan antara syarikat penerbangan.

“Apabila kos meningkat, tambang mungkin disesuaikan; apabila kos menurun, tambang turut mengikuti,” jelasnya.

Seperti banyak syarikat penerbangan global, beliau menekankan Batik Air sentiasa memantau kenaikan harga minyak jet baru-baru ini, yang meningkat daripada sekitar US$85–90 setong kepada lebih US$100 berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Syarikat penerbangan di seluruh dunia kini menghadapi tekanan kos susulan lonjakan harga bahan api, komponen utama operasi, akibat ketegangan di Asia Barat yang menjejaskan pasaran tenaga global.

-- BERNAMA