BERITA TERKINI   Cadangan Bekerja Dari Rumah sektor awam diteliti, mungkin dibincang dalam Kabinet esok - Fahmi | Unit MN Holdings raih kontrak projek pencawang pusat data bernilai RM216 juta di selatan Semenanjung Malaysia | Jumlah rizab LTAT meningkat 29.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.01 bilion pada tahun kewangan 2024 | LTAT catat RM749.49 juta dalam pendapatan pelaburan bagi tahun kewangan 2025, keuntungan boleh agih berjumlah RM541.56 juta. | LTAT isytihar dividen 5.35 peratus, RM524.74 juta bagi tahun kewangan 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun | 

Kementerian Ekonomi Muktamadkan Pelan Induk Pelaburan JS-SEZ - Akmal Nasrullah 

PUTRAJAYA, 12 Mac -- Kementerian Ekonomi sedang memuktamadkan pelan induk dan pelan tindakan pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka dilancarkan pada 30 Mac ini di Johor Bahru.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pelan tindakan itu akan menjadi rujukan umum, manakala pelan induk yang lebih terperinci berfungsi sebagai panduan bagi semua pihak pelaksana dalam pembangunan zon ekonomi khas tersebut.

"Di peringkat Kementerian Ekonomi, kita sedang memuktamadkan blueprint (pelan tindakan) dan juga master plan (pelan induk). Blueprint berperanan sebagai rujukan umum manakala master plan menjadi panduan bagi semua pihak pelaksana dalam zon ekonom tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sistem MyRMK, iaitu Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), di sini hari ini.

Akmal Nasrullah berkata pelancaran pelan tindakan itu merupakan langkah penting bagi memperincikan hala tuju pembangunan JS-SEZ termasuk aspek strategi pelaburan, kerjasama ekonomi serta pelaksanaan projek di kawasan berkenaan.

Beliau berkata kerajaan telah bersetuju pelan tindakan tersebut dilancarkan pada 30 Mac di Johor Bahru sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura serta merangsang pertumbuhan ekonomi di wilayah selatan negara.

Kerajaan Johor dijangka turut terlibat dalam pelancaran tersebut, selain kehadiran Menteri dari Singapura.

JS-SEZ merupakan inisiatif kerjasama strategik antara Malaysia dan Singapura yang bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi, menarik pelaburan baharu serta merangsang pertumbuhan ekonomi di wilayah selatan negara.

Zon ekonomi ini menyasarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion menjelang 2030, yang dijangka mengubah landskap ekonomi Johor secara menyeluruh, selain beralih kepada ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi serta mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

-- BERNAMA