BERITA TERKINI   PM Anwar umum Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment bernilai lebih RM710 juta bagi perkukuh kestabilan pasaran buruh negara | Malaysia masih kekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter meskipun kebanyakan negara pengeluar minyak naikkan harga - PM Anwar | Kerajaan akan terus ambil langkah-langkah perlu dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi global - PM Anwar | Kerajaan cadang perluas perlindungan PERKESO kepada warganegara Malaysia di luar negara - PM Anwar | Kerajaan komited perkasakan wanita sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Menjelang Cuti Panjang

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan dagangan berhati-hati menjelang cuti hujung minggu yang panjang. 

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata pasaran susut daripada kenaikan yang dicatatkan dalam sesi pagi ini apabila peniaga memilih untuk bertahan susulan lanjutan penutupan pasaran Bursa Komoditi Dalian China (DCE).

“Ini ditambah pula dengan cuti yang menyebabkan peniaga lebih cenderung untuk mengurangkan risiko.

“Mereka sebaliknya memilih untuk tidak mengambil sebarang kedudukan ketika pasaran tutup kerana sebarang berita di luar jangka boleh mempengaruhi pergerakan harga ketika pasaran tidak beroperasi,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir urus niaga hari ini, kontrak bulan semasa Ogos 2026 turun RM16 kepada RM4,588 satu tan metrik, September 2026 susut RM22 kepada RM4,599 satu tan metrik dan Oktober 2026 merosot RM20 kepada RM4,609 satu tan metrik.

Jumlah dagangan melonjak kepada 84,955 lot daripada 73,968 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka naik kepada 259,891 kontrak daripada 256,779 kontrak, sebelum ini.

Harga fizikal MSM bagi Mei Selatan berkurangan RM10 kepada RM4,550 satu tan.

Pasaran akan ditutup pada 1 Mei 2026 bersempena cuti umum Hari Pekerja.

-- BERNAMA