Kepelbagaian Pasaran Pelancongan Malaysia Berupaya Jadi Penampan Kesan Konflik Timur Tengah
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Pasaran pelancongan Malaysia yang pelbagai dan penekanan yang semakin meningkat terhadap kemampanan dalam industri perhotelan dijangka berupaya menjadi penampan kepada kesan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah ke atas sektor pelancongan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Isaac Mohan Raj berkata walaupun situasi geopolitik di Timur Tengah telah menyebabkan penerbangan dibatalkan dan lapangan terbang di beberapa kawasan ditutup sementara, namun sektor pelancongan dan hospitaliti Malaysia kekal berdaya tahan kerana asas pengunjung yang luas.
“Kerana kejadian ini baru sahaja berlaku, konflik di Timur Tengah… kini banyak penerbangan dibatalkan dan beberapa lapangan terbang ditutup. Jadi, kita masih belum melihat kesan sepenuhnya; mungkin ia akan mengambil sedikit masa dan juga bergantung kepada berapa lama perang ini berlanjutan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata sektor pelancongan Malaysia secara sejarahnya telah menunjukkan daya tahan dalam menghadapi gangguan global.
“Pasaran pelancongan Malaysia kekal berdaya tahan kerana kita telah melalui SARS, COVID-19 dan sebagainya. Malaysia masih merupakan destinasi yang selamat dan mesra pengunjung.
“Industri pelancongan negara kita boleh menyesuaikan corak perjalanan dan memanfaatkan pasaran yang kurang terjejas oleh gangguan ruang udara di Timur Tengah, terutamanya di Asia Tenggara dan Asia Timur,” katanya.
Beliau berkata Malaysia boleh menawarkan destinasi alternatif yang selamat dan mudah diakses di Asia Tenggara, di mana pelancong tidak perlu terbang melalui ruang udara Timur Tengah.
Menurut beliau, pasaran sumber utama Malaysia sebahagian besarnya kekal tidak terjejas oleh konflik semasa seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, China dan India.
“Pasaran utama ini tidak terjejas dan orang ramai masih mahu melancong. Jadi, mereka mungkin memilih destinasi yang lebih dekat dengan rumah, termasuk Malaysia,” katanya.
Beliau menambah kedudukan Malaysia yang kukuh sebagai destinasi mesra Muslim juga boleh meningkatkan daya tarikan negara ini kepada pelancong yang mencari destinasi percutian alternatif.
“Dibandingkan dengan beberapa negara, Malaysia merupakan salah satu destinasi paling selamat untuk pelancongan Muslim. Kita ialah hab halal dengan standard penginapan yang mesra Muslim,” katanya.
Sementara itu, Isaac berkata kemampanan semakin menjadi keutamaan untuk industri perhotelan di Malaysia memandangkan pelancong antarabangsa kini semakin menyukai penginapan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Merujuk kepada tinjauan global oleh platform pelancongan dalam talian Booking.com, beliau berkata kira-kira 80 peratus pelancong antarabangsa kini mementingkan kemampanan ketika memilih hotel.
“Apabila pelancong daftar masuk ke hotel hari ini, mereka ingin melihat hotel itu mengamalkan kemampanan. Mereka tidak mahu botol plastik, tidak mahu pembungkusan plastik untuk keperluan bilik dan mereka mahu melihat pembaziran makanan dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata hotel-hotel di Malaysia secara beransur-ansur menerima pakai amalan yang lebih mesra alam, termasuk mengurangkan penggunaan plastik, mendigitalkan perkhidmatan tetamu dan melaksanakan sistem pengurusan sisa.
“Sekarang apabila anda pergi ke banyak hotel, anda tidak akan melihat botol plastik lagi; mereka menggunakan botol kaca. Di bilik, kompendium yang bercetak besar juga sudah tiada lagi — semuanya telah didigitalkan,” katanya.
Isaac mengakui industri ini masih di peringkat awal untuk menerima pakai kemampanan, tetapi menyatakan kesedaran dalam kalangan pihak hotel semakin meningkat.
“Saya akan katakan kita masih berada di peringkat awal, tetapi kesedaran itu sudah ada. Banyak hotel telah mula mengambil langkah ke arah ESG. Penerimaan kemampanan dijangka menjadi lebih meluas dalam beberapa tahun akan datang apabila keperluan kawal selia mula dikuatkuasakan.
“Malaysia telah menggubal undang-undang yang menetapkan menjelang 2030, keperluan untuk kemampanan akan menjadi lebih ketat. Jadi, menjelang tempoh itu kita boleh melihat lebih banyak penerimaan kerana industri pelancongan juga perlu melaporkan jejak karbon mereka,” tambahnya.
-- BERNAMA