Unit MHB Peroleh Kontrak EPC Untuk Platform Reka Bentuk Medan Marginal
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) memperoleh kontrak perjanjian harga untuk kerja kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC) platform reka bentuk medan marginal (MFDP).
Unit MHB iaitu Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd memperoleh kontrak berkenaan daripada PTTEP Sarawak Oil Ltd dan PTTEP HK Oil Ltd.
"Skop projek ini merangkumi kemudahan platform kepala telaga (WHP) yang menyokong pembangunan dan pengkomersialan medan minyak dan gas marginal serta submarginal yang ditemukan di luar pesisir pantai Sarawak, luar pesisir Malaysia Timur," kata MHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Di bawah kontrak ini, MHB akan membina sehingga 11 platform kepala telaga dengan keseluruhan program dijadualkan untuk dilaksanakan selama empat tahun.
Selepas siap, kemudahan berkenaan akan digunakan di luar pesisir Sarawak untuk menyokong rancangan pembangunan medan PTTEP.
"Setakat ini, arahan kerja untuk empat platform kepala telaga telah diberikan," kata kumpulan itu.
Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026 dan seterusnya, sehingga ia siap.
“Rangka kerja MFDP mengguna pakai reka bentuk platform kepala telaga piawai yang sesuai dengan tujuan melalui pendekatan katalog item bagi memastikan konsistensi, kecekapan dan kebolehulangan merentasi pembangunan pelbagai projek.
“Dengan mengintegrasikan semua kemudahan yang diperlukan di bawah strategi pelaksanaan yang digabungkan, ia memberikan pengoptimuman kos, kepastian jadual dan ekonomi skala selain meningkatkan kebolehlaksanaan projek merentasi blok luar pesisir,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB Mohd Nazir Mohd Nor berkata kontrak ini yang diperoleh melalui proses bidaan kompetitif, mencerminkan lebih lima dekad kepakaran luar pesisir kumpulan dan rekod prestasi yang terbukti.
Katanya, ia turut menekankan kecemerlangan teknikal, keberkesanan kos dan pelaksanaan projek yang berdisiplin.
"WHP akan dibina di tapak kami di Pasir Gudang, Johor dengan memanfaatkan kemudahan canggih dan tenaga kerja berpengalaman kami.
"Tumpuan kami kekal untuk melaksanakan projek ini dengan selamat, mengikut jadual dan mengikut piawaian industri yang tertinggi," tambahnya.
-- BERNAMA