BERITA TERKINI   Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan lemas di Sungai Langat berhampiran bandar Kajang - Bomba | Jangan hasilkan atau sebar kandungan 3R bersifat provokatif, cetus ketegangan awam - MCMC | PuTERA35 jadi dasar negara martabatkan kedudukan Bumiputera - PM Anwar | Artikel 153, Dasar Bumiputera tidak akan diubah dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat - PM Anwar | Industri halal mampu pecah tembok monopoli pelbagai bidang, Bumiputera harus rebut peluang - PM Anwar | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Bergerak Dalam Julat US$4,600–US$4,700 Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam julat sempit antara US$4,600 hingga US$4,700 setiap auns troy minggu depan, susulan jangkaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) akan mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peniaga berkemungkinan kekal berhati-hati menjelang pengumuman data Gaji Bukan Ladang (NFP) AS.

“Data ini penting kerana Fed memerlukan bukti yang meyakinkan bahawa pasaran buruh semakin lemah. Jika tidak, ia berkemungkinan mengekalkan pendirian dasar yang ketat,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas minggu ke minggu, kontrak bulan semerta April 2026 susut kepada US$4,625.80 setiap auns troy pada Jumaat daripada US$4,697.70 setiap auns troy minggu sebelumnya, manakala kontrak Mei 2026 turun kepada US$4,659.50 daripada US$4,720.20.

Sementara itu, kontrak Jun, Julai dan Ogos 2026 masing-masing merosot kepada US$4,670.20 setiap auns troy daripada US$4,735.70 pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 65 lot daripada 58 lot, manakala kepentingan terbuka naik kepada 97 kontrak daripada 74 kontrak pada minggu sebelumnya.

Emas fizikal ditetapkan pada US$4,564.90 setiap auns troy mengikut penetapan harga oleh London Bullion Market Association pada 28 April, 2026.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat sempena cuti umum Hari Pekerja.

-- BERNAMA